Naib Canselor UTeM Profesor Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim.

KUALA LUMPUR – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM)  mengambil serius terhadap perkembangan peningkatan kes positif Covid-19 dan menangguhkan sementara pendaftaran dan kemasukan pelajar secara fizikal bagi sesi akademik 2020/2021.

Naib Canselor UTeM, Prof. Datuk Wira Dr Raha Abdul Rahim berkata, ia juga adalah selari dan merujuk kepada kenyataan media yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) semalam.

“Bagi memulakan proses pengajian pada semester ini maka pendaftaran pelajar baharu dan kemasukan semula pelajar kanan bagi sesi kali ini akan dijalankan secara atas talian manakala proses pengajaran dan pembelajaran juga turut akan dilaksanakan secara atas talian sehingga pengumuman baharu dibuat nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Raha, proses itu dilaksanakan demi kebaikan, kesejahteraan dan keselamatan semua pihak di samping kita sama-sama berusaha mengawal penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, pelajar yang sudah berada di kampus akan dibenarkan untuk berada di kampus namun perlu sentiasa mengambil langkah pencegahan dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi mengelak penyebaran wabak Covid 19.

Mengulas lanjut beliau berkata, UTeM juga senada dengan saranan KPT iaitu turut akan menangguhkan semua program dan aktiviti yang melibatkan perhimpunan staf dan pelajarnya.- MalaysiaGazette