Kapal MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001 berlanggar di perairan Tanjung Keling, Melaka semalam.-Gambar Jabatan Laut Malaysia.

KUALA LUMPUR – Kapal MT Strovocos dan MV Ocean Line 5001 berlanggar di perairan Tanjung Keling, Melaka semalam.

Kejadian 11.38 malam itu berlaku lebih kurang 2.4 batu nautika arah daya Terminal Tanjung Bruas, menurut satu kenyataan Jabatan Laut Malaysia.

MV Oceanline 5001 semasa dalam pelayaran dari kawasan tambakan Kota Laksamana, Melaka menuju ke lokasi pengambilan pasir luar Had Pelabuhan Melaka telah melanggar bahagian tengah (mid ship) sebelah kiri MT Strovocos yang pada ketika itu sedang berlabuh sauh di dalam Had Pelabuhan Melaka.

Akibat dari perlanggaran itu kedua-dua kapal itu telah mengalami kerosakan.

Bagaimanapun tiada kerosakan yang boleh menyebabkan kedua-dua kapal itu tenggelam ataupun memberi ancaman sebarang pencemaran alam sekitar seperti tumpahan minyak dan sebagainya.

Ia juga tidak melibatkan sebarang kematian mahupun kecederaan pada krew kapal terbabit ataupun pihak ketiga.

Jabatan Laut Malaysia melalui Jabatan Laut Malaysia Wilayah Tengah telah menubuhkan satu pasukan penyiasatan bagi memperincikan kejadian yang berlaku.

Jabatan Laut Malaysia akan sentiasa memantau situasi ini bagi mengekalkan eselamatan pelayaran kapal-kapal dan
penjagaan alam sekitar marin dari tercemar.

Jabatan Laut Malaysia ingin menasihatkan pihak-pihak yang berkepentingan dan orang awam yang berminat untuk mendapatkan maklumat yang benar serta tepat supaya
menghubungi Unit Korporat, Jabatan Laut Malaysia yang bertanggungjawab menyalurkan sebarang makluman rasmi jabatannya. – MalaysiaGazette