KKM) akan menggunakan pengalaman merawat pesakit Covid-19 yang mencabar pada bulan Mac dan April lalu sebagai penanda aras menghadapi gelombang baharu peningkatan kes pandemik itu pada masa ini.- Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggunakan pengalaman merawat pesakit Covid-19 yang mencabar pada bulan Mac dan April lalu sebagai penanda aras menghadapi gelombang baharu peningkatan kes pandemik itu pada masa ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pasukannya kini lebih bersedia untuk melawan dan melandaikan graf kes Covid-19 sekali lagi.

Namun beliau menjangka jumlah kes positif baharu harian akan terus menunjukkan tren peningkatan pada tiga digit untuk beberapa hari dan minggu akan datang ekoran pelaksanakan aktiviti pengesanan kes aktif positif, kontak rapat dan saringan untuk mengawal penularan.

“Kalau kita lihat kesiapsiagaan KKM, kita lebih bersedia berbanding semasa Mac dan April iatu daripada segi peralatan dan pengalaman kita berjaya merawat pesakit Covid-19 termasuk penggunaan PPE (Peralatan Perlindungan Peribadi).

“Sekarang kita lihat peningkatan kes hanya tertumpu di Kedah dan Sabah dan oleh demikian kita telah agihkan bantuan pasukan kita yang terdiri daripada pakar dan pegawai perubatan di lapangan untuk tindakan kesihatan awam.

“Malah daripada segi kapasiti kita masih berkemampuan di hospital-hospital, Pusat Rawatan Berisiko Rendah untuk dapatkan pesakit bergejala ringan, tidak bergejala di situ,” katanya dalam sidang media hari ini.

Tambah Noor Hisham, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar di empat daerah iaitu Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu di Sabah akan membantu mengawal situasi.

“Aktiviti sedang dijalankan di lapangan dan ia akan menyaksikan peningkatan mendadak aktiviti pengesanan kes tertumpu di semua kawasan bersasar.

“Maka kita jangkakan kes positif Covid-19 akan meningkat dalam tempoh dua tiga hari ini serta berterusan untuk seminggu dua lagi.

“Ia akan memastikan kita dapat mengesan kes kes positif untuk diasingkan dan seterusnya akan melaksanakan pengesanan aktif kes positif seperti mana kita lakukan pada bulan Mac lalu ketika PKP yang akan menjamin penularan dikawal baik nanti,” ujarnya.- MalaysiaGazette