Penumpang yang menaiki bot dari pulau untuk ke pekan Semporna ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Jeti Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto MOHD ADZLAN, 23 SEPTEMBER 2020.

KOTA KINABALU – Individu dari Labuan, Sarawak dan Semenanjung Malaysia perlu mengemukakan permohonan pas kebenaran khas kepada Kerajaan Negeri Sabah sekiranya ingin memasuki negeri itu sepanjang Kawalan Rentas Daerah.

Pejabat Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri Sabah menerusi kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemohonan itu boleh dibuat di laman sesawang https://hednp.sabah.gov.my.

“Bagaimanapun, pengecualian diberikan kepada warganegara yang berasal dari Sabah, pemegang pas dikeluarkan Jabatan Imigresen Negeri Sabah yang berada di Semenanjung, Sarawak, Labuan dan pasangan yang menjalankan perkhidmatan perlu,” menurut kenyataan itu.

Pada Khamis lepas, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa kerajaan akan melaksanakan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah mulai semalam (3 Okt) hingga 16 Okt ini. – MalaysiaGazette