lori air Air Selangor
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi terpaksA dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran air mentah di Sungai Semenyih yang menjadi sumber air mentah ke loji-loji ini.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor), Elina Baseri berkata, henti tugas loji-loji itu akan menyebabkan 273 kawasan terjejas, iaitu 309,605 akaun pengguna, mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Ia melibatkan empat wilayah iaitu Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang, ujarnya.

“Air Selangor telah melaporkan insiden ini kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan tindakan untuk mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Elina, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menggiatkan bantuan kepada pengguna-pengguna yang terjejas ekoran insiden itu.

Tambah beliau, pada masa ini pihaknya masih belum dapat menjangkakan tempoh masa pengoperasian semula loji dan pemulihan bekalan.

“Air Selangor akan memaklumkan perkembangan berkaitan dengan insiden ini dari semasa ke semasa menerusi semua medium khususnya media massa,” katanya.

Bagi maklumat bekalan air, para pengguna boleh merujuk aplikasi Air Selangor serta laman sosial media Air Selangor iaitu Facebook Twitter, Instagram Air Selangor selain laman sesawangnya di alamat www.airselangor.com.