Sejarah ITM (sekarang UiTM) awal 1970an hingga 1975, menyaksikan graduan yang cukup hebat dan ramai berjaya dalam pelbagai bidang.- Gambar hiasan.

SHAH ALAM – Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyalurkan bantuan berupa wang tunai berjumlah RM100 kepada pelajarnya yang terjejas susulan penangguhan pendaftaran kemasukan.

Naib Canselor Prof Emeritus Datuk Dr Mohd Azraai Kassim berkata, bantuan berkenaan akan salurkan kepada pelajar yang telah hadir ke kampus tetapi terpaksa berpatah balik dan bagi pelajar yang telah berdaftar dan memilih untuk terus kekal di kampus masing-masing.

“Di samping itu, pengurusan tertinggi universiti juga telah bersetuju untuk memberi pengecualian bayaran kolej untuk bulan Oktober 2020 kepada semua pelajar yang tinggal di kolej kediaman UiTM Shah Alam dan Kampus Cawangan.

“Sejumlah 3,252 pelajar telah datang mendaftar secara fizikal bermula dari 1 Okt hingga 3 Okt lalu. Bagaimanapun, kini hanya 940 pelajar memilih untuk terus kekal di kolej kediaman UiTM seluruh negara manakala, selebihnya memilih untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd Azraai pelajar yang kekal di kolej kediaman akan terus dipantau dan dibantu mengikut keperluan masing-masing.

“Keutamaan kami kini adalah para pelajar kekal selamat, kekal sihat dan kekal tabah dengan pandemik COVID-19. UiTM juga memberi jaminan bahawa kebajikan dan keselamatan para pelajar akan sentiasa dipantau dan diberikan keutamaan.

“Lebih penting, dengan inisiatif dan insentif ini para pelajar kami akan kekal tenang, tabah dan meneruskan pengajian mereka dalam suasana kebajikan dan keselamatan mereka sentiasa terpelihara,” katanya.

Pada Jumaat, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) menangguhkan pendaftaran secara fizikal dan bersemuka pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) bagi kemasukan Oktober 2020 dan pelajar lama kembali ke kampus susulan kebimbangan terhadap peningkatan kes COVID-19.

Menurut kementerian itu, semua urusan pendaftaran pelajar serta aspek pengajaran dan pembelajaran boleh dilaksanakan secara dalam talian hingga pengumuman baharu mengenainya dibuat. – MalaysiaGazette