Dr. Adham Baba.

KUALA LUMPUR – Seramai 150 pegawai perubatan gred UD41 bertaraf kontrak yang sudah menjalani program latihan siswazah sudah diberikan tawaran pelantikan secara tetap oleh Kementerian Kesihatan (KKM).

Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba berkata, tawaran pelantikan itu selaras permohonan pelantikan tetap yang diluluskan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam pada 21 September lalu.

Tawaran pelantikan tetap ini merupakan kesinambungan urusan pelantikan secara tetap yang dilaksanakan sebelum ini kepada Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) daripada kalangan Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017.

Menurutnya, pelantikan secara tetap ini telah dipersetujui oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam untuk dikebelakangkan mulai 15 Mei 2017 iaitu bersamaan dengan tarikh pegawai melapor diri sebagai pegawai lantikan kontrak.

Bagi urusan kali ini, penempatan pegawai hanya dibuat di pejabat dan fasiliti kesihatan di Negeri Sarawak sahaja mengambil kira faktor kepentingan perkhidmatan dan kekosongan jawatan.

Tarikh melapor diri bertugas di Jabatan Kesihatan Sarawak adalah pada 12 Oktober 2020.

Daripada keseluruhan 150 pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap, sejumlah 66 pegawai (44%) adalah merupakan anak kelahiran Negeri Sarawak, manakala baki seramai 84 pegawai lagi (56%) adalah pegawai dari Semenanjung, yang mana mereka juga dapat memberikan komitmen sepenuhnya bagi menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat Sarawak.

Dengan tawaran pelantikan ini, kesemua Pegawai Perubatan Gred UD41 (kontrak) anak kelahiran Negeri Sarawak dalam Kohort Lantikan Bilangan 2 Tahun 2017 yang memenuhi kriteria pelantikan tetap telah pun ditawarkan pelantikan secara tetap, ujar beliua. – MalaysiaGazette