NEW YORK – Sembilan negeri di Amerika Syarikat merekodkan kenaikan kes Covid-19 dalam tempoh tujuh hari lalu terutama di bahagian barat ketika musim sejuk.

Pada hari Sabtu sahaja, empat negeri – Kentucky, Minnesota, Montana dan Wisconsin – menyaksikan peningkatan rekod dalam kes baharu dan di peringkat nasional hampir 49,000 kes, tertinggi untuk hari Sabtu dalam tempoh tujuh minggu, menurut analisis Reuters.

Kansas, Nebraska, New Hampshire, Dakota Selatan dan Wyoming juga merekodkan jumlah kes pada minggu lalu.

New York adalah satu daripada 18 negeri yang tidak menunjukkan peningkatan ketara dalam dua minggu lalu.

Bagaimanapun, Datuk Bandar New York, Bill de Blasio berkata, bandar itu akan menutup operasi perniagaan tidak penting seperti sekolah di sembilan kawasan bermula hari Rabu.

Sekatan pergerakan itu memerlukan kelulusan gabenor.

Pakar-pakar kesihatan telah memberi amaran bahawa suhu sejuk akan menyaksikan penyebaran virus lebih cepat.

Suhu tinggi pada waktu siang di Midwest kini sekitar 10 darjah Celsius.

Montana dilaporkan merekodkan jumlah kes baharu selama tiga daripada empat hari lalu dan mempunyai jumlah pesakit Covid-19 terbanyak di hospitalnya.

Wisconsin turut menyaksikan rekod untuk kes jangkitan baharu dua daripada tiga hari lalu, serta menunjukkan kemasukan ke hospital yang tinggi.

Secara purata 22 peratus ujian saringan yang dijalankan adalah positif, kadar tertinggi di Amerika Syarikat.- MalaysiaGazette