Mustapa Mohamed

KUALA LUMPUR – Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia dijadualkan semula kepada 20 Januari sehingga 6 Februari 2021 berikutan peningkatan mendadak kes Covid-19 kebelakangan ini.

Fasa Kedua banci (secara bersemuka) sepatutnya bermula pada 7 sehingga 24 Oktober 2020.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pembancian dalam talian (e-census dan Computer Assisted Telephone Interview) yang telah berakhir pada 30 September 2020 akan disambung semula pada 7 Oktober 2020 sehingga 21 Disember 2020.

Dalam tempoh ini, orang ramai yang belum melengkapkan atau mengisi borang bancian digesa supaya melakukannya melalui laman https://www.mycensus.gov.my/.

Langkah ini untuk mengurangkan pertemuan bersemuka yang akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19.

Akta Banci 1960 (disemak 1969) mengkehendaki orang ramai untuk mengambil bahagian dan menjawab semua soalan banci.

Katanya, data penduduk dan perumahan amat penting untuk kerajaan merangka dasar bagi kesejahteraan negara. Ini bagi memastikan setiap perancangan yang dibuat menepati kumpulan sasar dan tiada yang tercicir. – MalaysiaGazette