Syed Zaid Albar

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) berkata, dana-dana yang diraih daripada saluran alternatif seperti pendanaan orang ramai (ECP) dan rakan setara (P2P) telah melepasi RM1 bilion tahun ini, sekali gus memberi keuntungan kepada lebih 2,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS),

Kejayaan tersebut menunjukkan platform digital semakin diterima sebagai kaedah baharu untuk mengumpulkan dana.

Semasa menyampaikan ucapan dalam Persidangan SCxSC Fintech di sini, Pengerusi SC, Datuk Seri Syed Zaid Ambar berkata, pertumbuhan platform ini disokong oleh pelabur di bawah usia 35 tahun, yang mewakili 60% daripada pelabur individu.

Menurutnya, dengan kehadiran pelabur-pelabur runcit, yang merupakan 84% pelabur-pelabur individu yang mengambil bahagian, ia telah menambah tarikan kepada platform ini.

Tambah beliau, walaupun pasaran berdepan dengan persekitaran mencabar, namun pelabur-pelabur masih menunjukkan keyakinan terhadap pasaran modal Malaysia.

“Kami melihat peningkatan besar dalam penyertaan pelabur individu melalui pengurus-pengurus pelaburan digital, ECF dan P2P, pertukaran aset digital (DAX) dan broker atas talian. Jadi, penyertaan runcit dalam persekitaran yang mencabar ini telah meningkat,” katanya.

Syed Zaid berkata, SC telah mengeluarkan tiga lagi lesen pengurusan pelaburan digital tahun ini, menjadikan jumlahnya bertambah kepada tujuh dan pengurus pelaburan digital ini telah menarik banyak pelabur pertama kali, dengan hampir 90,000 akaun baharu dibuka tahun ini.

Malah, permintaan untuk perkhidmatan pembrokeran atas talian juga bertambah dengan akaun-akaun baharu di buka melalui broker atas talian lebih daripada 270% tahun ke tahun.

Volum purata dagangan juga meningkat tiga kali ganda tahun ini.

SC, ujarnya juga meluluskan tiga DAX tahun lalu dan ketiga-tiganya sudah beroperasi dengan empat aset digital dibenarkan untuk diperdagangkan di platform ini.

Lebih daripada 400,000 akaun telah dibuka di ketiga-tiga DAX dengan nilai perdagangan melebihi RM100 juta pada bulan Ogos.

Namun, Syed Zaid berkata, risiko yang timbul dengan peningkatan penggunaan teknologi perlu diakui.

“SC kekal berhati-hati dan akan terus meningkatkan daya tahan pasaran siber terutama terhadap serangan siber dan penipuan atas talian.

”Perantara pasaran juga perlu memainkan peranan dan menjadi pelengkap pengawasan SC dengan memastikan ketahanan kerangka pengurusan risiko siber dan protokol perlindungan data,” ujarnya. – MalaysiaGazette