Ole Gunnar Solksjaer-Pix Agensi

LONDON – Pengurus Manchester United, Ole Gunnar Solksjaer mengakui kekalahan besar 1-6 skuad bimbingannya ke atas Tottenham Hotspur merupakan hari yang terburuk buat dirinya sepanjang bergelar pengurus kelab tersebut.

Aksi longlai yang dipamerkan anak buahnya di Old Trafford itu menyebabkan Solskjaer meletakkan sepenuh tanggungjawab berhubung kekalahan memalukan itu di bahunya sendiri.

”Ini merupakan bahasa kedua saya jadi amat sukar bagi saya untuk mengungkapkannya dengan kata-kata. Ia adalah satu perasaan yang amat mengerikan.

”Hari yang sangat buruk buat saya sepanjang bergelar pemain dan pengurus buat Manchester United,” ujar Solskjaer menurut laporan Goal.

Namun pengendali kelahiran Norway itu percaya anak buahnya akan kembali bangkit kerana dia pernah menjadi sebahagian daripada kekalahan besar sebelum ini.

“Saya akan membiarkan mereka pergi ke tugasan skuad kebangsaan, mencari kekuatan mereka sendiri dan yang lain akan kekal di sini, kami akan membantu mereka.

”Selepas menerima keputusan seperti ini, anda perlu untuk mengosongkan minda dan kepala serta memandang ke hadapan.”

”Kadang-kadang anda melakukan kesilapan, ia sebahagian daripada hidup dan anda melakukan terlalu banyak kesilapan dalam satu perlawanan dan itu menunjukkan hasilnya ketika berdepan lawan yang sangat baik.

”Tottenham sebuah pasukan yang penuh dengan kualiti dan kami dihukum hampir setiap kesilapan yang kami lakukan,” katanya lagi.

Beraksi di gelanggang sendiri langsung tidak memberikan sebarang kelebihan buat United pada perlawanan ini meskipun mendahului lawan hasil sepakan penalti Bruno Fernandes seawal minit kedua.

Tottenham kemudiannya memberi reaksi pantas apabila berjaya menghasilkan dua jaringan pantas menerusi Tanguy Ndombele dan Son Heung-min sebelum United menerima nasib malang berikutan kad merah diterima Anthony Martial pada minit ke-28.

Kekurangan seorang pemain jelas mempengaruhi corak permainan United yang kemudiannya dibolosi empat lagi jaringan sekaligus menerima kekalahan kedua musim ini selepas mengharungi tiga perlawanan liga. – MalaysiaGazette