Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein menunjukkan gelang pink saringan Covid-19 di media sosialnya hari ini.

KUALA LUMPUR – Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan beliau sudah diberi pelepasan daripada kuarantin wajib oleh Kementerian Kesihatan Malaysia hari ini setelah melakukannya di kediaman sendiri sejak 22 September lalu.

Jelas Ahli Parlimen Sembrong itu, sejak mula dikuarantin, beliau menjalani tiga ujian saringan Covid-19 yang kesemuanya memberikan hasil negatif.

Dengan keputusan itu, katanya, KKM melalui Pejabat Kesihatan Daerah Petaling mengeluarkan surat pelepasan kuarantin setelah berpuas hati dengan status kesihatannya.

Surat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah kediaman bagi kontak terdekat jangkitan (Covid-19) di bawah Seksyen 15(1) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) itu berkuat kuasa hari ini.

“Dengan pengesahan ini, saya akan kembali menjalankan tugas-tugas di pejabat saya di Wisma Putra, Putrajaya seperti sedia kala bermula esok,” katanya di laman Facebook.

Beliau turut memuat naik dokumen keputusan ujian saringan serta gambar gelang merah jambu yang telah dipotong pada hantaran sama.

Hishammuddin sebelum ini diarahkan kuarantin kerana mempunyai kontak rapat dengan calon Barisan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri Pitas, Sufian Abdul Karim yang positif Covid-19 semasa kempen pilihan raya negeri (PRN) Sabah, 21 September lalu. – MalaysiaGazette