Bursa Malaysia ringgit
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Minggu pertama Oktober menyaksikan pelabur asing sebagai penjual bersih apabila melupuskan sebanyak RM543.91 juta.

Secara perbandingan, untuk data kumulatif bulan September, pelabur asing adalah penjual bersih dengan nilai RM1.43b, lebih besar daripada Ogos iaitu RM1.19 bilion.

MIDF Research berkata, sekiranya trend ini berterusan, kita mungkin akan melihat aliran keluar dana asing yang lebih tinggi untuk bulan ini.

Minggu lalu, pelabur runcit adalah menjual sebanyak RM171.54 juta ekuiti manakala institusi tempatan membeli sebanyak RM715.48 juta, sekali gus menyaksikan dua minggu berturut-turut institusi tempatan sebagai pembeli di Bursa.

Namun berbeza dengan pelabur runcit kerana minggu pertama bulan Oktober menyaksikan pelabur ini keluar secara besar-besaran walaupun nilai aliran keluarnya kecil.

Firma penyelidikan itu tidak menolak, trend itu disebabkan berakhirnya tempoh moratorium pada 30 September lalu.

Ketika pasaran dibuka semula pada hari Isnin minggu lalu, pelabur asing menjual sebanyak RM292.6 juta bersih ekuiti tempatan tetapi pelabur runcit dan institusi tempatan bertindak sebagai pembeli, masing-masing dengan nilai RM47.5 juta dan RM245.2 juta.

Bagaimanapun, aliran keluar ini berkurangan setiap minggu, apabila hari Selasa dan Rabu jualan bersih jatuh, masing-masing kepada RM167.9 juta dan RM83.8 juta.

Aliran keluar terbesar berlaku pada hari Isnin sebanyak RM292.60 juta dan aliran keluar terkecil pada hari Khamis iaitu RM57.75 juta.

Trend ini berubah pada hari Jumaat dengan kemasukan aliran pelabur asing berjumlah sebanyak RM58.1 juta disebabkan pembaharuan ke atas kaunter sarung tangan ekoran pandemik Covid-19 kini memasuki gelombang kedua.

Tambahan pula, pasaran kewangan dikejutkan dengan berita Presiden Donald Trump yang didapati positif Covid-19.

MIDF Research menambah, dari segi penyertaan, pelabur runcit mencatatkan penurunan mingguan sebanyak 19.37% pada nilai dagangan purata harian (ADTV) sementara pelabur asing mengalami penyusutan 3.66%. – MalaysiaGazette