Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Hee Loy Sian meninjau kerja-kerja di Tasik Idaman yang digunakan untuk pembersihan Sungai Semenyih pada sidang media berkenaan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Semenyih di Tasik Idaman, Sungai Buah, Bangi, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 05 OKTOBER 2020

DENGKIL – Aktiviti pembersihan reban itik dan angsa besar-besaran di Sungai Pajam dan aktiviti perindustrian Nilai 3 berhampiran Sungai Batang Benar disyaki punca pencemaran semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains dan Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian berkata, ia menjadi punca Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi berhenti operasi semalam selepas pencemaran di Sungai Semenyih dan Sungai Langat dikesan.

Katanya, setakat ini, bacaan setakat 9.30 pagi tadi di LRA Sungai Semenyih menunjukkan tahap 8 ton dan masih tidak mampu dibuka untuk operasi semula kerana masih berbau.

“Kita telah mengenalpasti punca awal yang mana kami mengesyaki potensi punca bau berlaku membabitkan dua sungai yang terletak di Negeri Sembilan iaitu Sungai Batang Benar dan Sungai Pajam dan di Selangor tiada dapat kesan punca pencemarannya.

“Jadi, mengikut siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) kami mengenalpasti dan mengesyaki kawasan perindustrian Nilai 3 (Sungai Batang Benar) dan keduanya aktiviti pembersihan besar-besaran reban itik dan angsa di ladang sebelah Sungai Pajam, Negeri Sembilan sebagai punca kepada pencemaran bau ini.

“Kita dapati pukul 9 hingga 9.30 pagi semalam berlaku aktiviti besar pembersihan di reban itik dan angsa tepi sungai itu sehingga menyebabkan bau kuat semalam dan bukannya disebabkan minyak namun punca sebenar menerusi siasatan terperinci belum diperoleh,” katanya dalam sidang media khas perkembangan terkini isu itu di Tasik Idaman Sungai Buah dekat sini.

Tambah Loy Sian, rentetan daripada kejadian itu, pihaknya sudah mengarahkan Jabatan Alam Sekitar, Badan Kawal Selia Air termasuk Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan untuk menyiasat segera insiden ini selain Exco dan Menteri Besar Negeri Sembilan sudah dimaklumkan insiden ini.

Pihaknya selepas ini akan menumpukan perhatian terhadap kawasan Perindustrian Nilai 3 dan aktiviti reban itik dan angsa dinegeri itu untuk mengenalpasti punca sebenar yang menyebabkan pencemaran bau, katanya.

Ditanya tempoh masa untuk menyiapkan siasatan penuh dan laporan lengkap siastaan pencemaran bau itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kajang beliau tidak dapat menentukan tempoh masa.

Beliau mahu membiarkan pihak berkuasa mengambil masa untuk menyiasat secara mendalam insiden itu.

Lagi pun katanya, loi rawatan air yang ditutup sejak semalam hanya akan dibuka operasinya semula sekiraya bacaa ton turun kepada bacaan 0 ton yang mana bacaan tinggi 11 ton lewat malam tadi kini menurun sedikit kepada bacaan 8 ton.

“Kita telahpun meletakkan dua pam di Sungai Buah di sini yang berupaya membekalkan 27 juta liter air sehari untuk mencairkan sungai ini dan juga 300 juta liter di Empagan Semenyih dengan harapan proses pencairan berlaku dengan segera.

“Justeru kita juga akan membuat laporan polis menerusi Pegawai Daerah Sepang dan juga LUAS (menentukan sebarang unsur jenayah).

“JAS akan mengambil tindakan jika mengenalpasti punca dan pelakunya selain laporan polis dan sementara itu kita dah sediakan lori tangki air sebagai alternatif menangani pengguna terjejas,” ujarnya.

Ditanya mengenai kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Aminudin Shari semalam yang pihaknya akan mengambil air daripada Putrajaya yang hanya mampu bertahan tujuh hari, katanya. buat masa ini tidak boleh mengepam air dari Putrajaya dan pembinaan paip untuk mengepam air akan mengambil masa setahun.

Sementara itu, LUAS juga memaklumkan bahawa pihaknya telah mengaktifkan Kod Merah berdasarkan Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air bagi siasatan menyeluruh di kawasan anggaran jarak dari lokasi siasatan ke muka sauk LRA Sungai Semenyih sebanyak 15 kilometer.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Pencemaran bau Sungai Semenyih berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai