Datuk Iskandar Abdul Samad
Iskandar Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Hukuman ke atas penjenayah alam sekitar khususnya sumber air pada masa ini tidak cukup berat untuk mencegah pencemaran sungai.

Ketua Penyelaras Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat dan Perumahan (REACH), Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, hanya hukuman berat sahaja dapat memaksa pemilik industri di tepi sungai agar lebih bertangungjawab.

“REACH mencadangkan selain dari denda tinggi, mereka yang didapati bersalah perlu dikenakan penjara mandatori tidak kurang 12 bulan, sebatan dan rampasan aset,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iskandar mengulas pencemaran bau Sungai Semenyih yang menyebabkan operasi Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan sejak jam 4.30 petang semalam, disyaki berpunca dari Kawasan Perindustrian Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, siasatan awal mendapati pencemaran bau itu mengalir ke Sungai Semenyih dari Sungai Batang Benar yang berhampiran dengan kawasan perindustrian itu.

Susulan pencemaran itu, sejumlah 309,687 akaun pengguna di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual selepas operasi di LRA Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihentikan pada pukul 4.30 petang semalam.

Selain hukuman lebih berat, Iskandar juga mahu pihak berkuasa mengenakan hukuman sama kepada pengurusan tertinggi termasuk pemilik agar kakitangan-kakitangan bawahan tidak dijadikan ‘kambing hitam’.

“Satu tindakan drastik perlu dilakukan agar dapat menakutkan (deter) mereka yang cuai atau tidak bertanggungjawab. Rakyat yang menanggung derita mahu melihat kerajaan bertindak tegas,” katanya lagi. – MalaysiaGazette