Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diiringi Menteri di Jabatan Perdana (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri (tiga kanan) berjalan keluar selepas pada Perasmian Persidangan Kehakiman dan Perundangan Syariah Nusantara Tahun 2020 di Movenpick Hotel dan Convention Centre, Sepang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin menjalani kuarantin selama dua minggu  bermula 3 Oktober selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 dan sedang menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan ujian saringan pengesanan Covid-19 ke atas semua ahli dan urusetia mesyuarat tersebut.

Berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan oleh KKM, mereka yang dikenal pasti kontak rapat semasa mesyuarat ini telah diberikan surat perintah pengawasan dan pemerhatian di rumah (HSO) selama 14 hari dari tarikh 3 Oktober 2020 dan dipakaikan gelang pengawasan.

Ahli mesyuarat yang bukan merupakan kontak rapat pula dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri (self-quarantine) selama 14 hari bermula 3 Oktober 2020 hingga 16 Oktober 2020.

Mereka juga dikehendaki memantau status kesihatan kendiri (self-health monitoring) di rumah setiap hari menggunakan home assessment tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sehubungan itu, saya akan menjalani kuarantin kendiri di kediaman saya selama 14 hari mengikut nasihat yang diberikan oleh KKM.

“Hal ini bagaimanapun tidak akan mengganggu urusan Kerajaan. Saya akan terus bekerja dari rumah dan menggunakan sidang video bagi mesyuarat yang perlu saya pengerusikan,” kata Muhyiddin.

Menurut Perdana Menteri, sebagai langkah berjaga-jaga, beliau melakukan ujian saringan pengesanan Covid-19 setiap dua minggu sejak April 2020 dan kesemua ujian pengesanan itu telah disahkan negatif.

“Saya telah melakukan tiga ujian pengesanan Covid-19 dalam tempoh tiga minggu lalu iaitu pada 22, 26 dan 29 September 2020 dan didapati negatif,” katanya. – MalaysiGazette

 

 

1 Komen

Comments are closed.