Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. foto SYAFIQ AMBAK, 29 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Batu di Perak dan Ramai-Ramai di Sabah muncul sebagai kluster baharu pandemik Covid-19 di negara ini, kata Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata, Kluster Batu telah dikenal pasti di Taiping hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga di sebuah kem tahanan.

Jelasnya, hasil saringan itu mendapati sebanyak tujuh kes dikesan positif Covid-19 pada 5 Oktober dan mereka semua telah dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

“Sehingga hari ini pukul 12 tengah hari, sejumlah 860 individu telah disaring dan keputusan saringan adalah 182 individu dikesan negatif dan 671 individu masih menunggu keputusan serta punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya pada sidang media dari kediamannya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Noor Hisham berkata, Kluster Ramai-Ramai pula dikesan di Sandakan, Sabah yang mana kes indeks kluster ini iaitu kes ke-12161 merupakan seorang pemandu bas dan mengalami gejala sakit tekak dan demam bermula 27 September lalu.

Jelas beliau, kes dikesan positif Covud-19 pada 3 Oktober lalu dan mangsa telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

Kata beliau, susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan 19 lagi kes positif Covid-19 dikenal pasti.

“Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia dan mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent, Sandakan, Sabah untuk rawatan.

“Sehingga hari ini 12 tengah hari, sejumlah 166 individu telah disaring dan keputusan saringan adalah 20 dikesan positif Covid-19 dan 146 individu masih menunggu keputusan di mana punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Noor Hisham turut memaklumkan, selain daripada dua kluster itu, terdapat tujuh kluster aktif lain yang mempunyai kes positif Covid-19.

Jelas beliau, ia melibatkan Kluster Tembok sebanyak 394 kes baharu; Kluster Bangau-Bangau (30), Kluster Jalan Meru (15) dan Kluster Bah Sintok dan sebanyak tiga kes baharu

Katanya, kluster lain yang masih aktif adalah Kluster Benteng PK sebanyak dua kes baharu; Kluster Selasih (1) dan Kluster Embun adalh satu kes baharu. – MalaysiaGazette