Foto hiasan

PUTRAJAYA – Perkembangan terbaharu Covid-19 menyaksikan catatan kes harian tertinggi setakat ini dengan 691 kes manakala empat kematian turut direkodkan.

Daripada jumlah kes terbaharu itu sebanyak 394 kes atau 57 peratus adalah dari Kluster Tembok di Kedah.

Negeri Jelapang Padi itu juga merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 397 kes diikuti Sabah (219) dan Selangor (38).

Terdapat dua kluster baharu telah dikenal pasti iaitu kluster Batu di Perak dan kluster Ramai-Ramai di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah memberitahu, daripada 691 kes baharu yang dilaporkan, tiga kes adalah kes import yang telah mendapat jangkitan dari luar negara melibatkan satu warganegara dan dua  bukan warganegara.

Jelas beliau, mereka mengembara dari India iaitu satu kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang merupakan warganegara dan Mesir dan Filipina masing-masing satu kes dilaporkan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor terdiri daripada bukan warganegara.

“Daripada 688 kes penularan di dalam negara, 661 kes adalah warganegara Malaysia dan 27 kes adalah bukan warganegara.

“Daripada 688 kes tersebut juga, dimaklumkan sekali lagi bahawa sebanyak 394 kes adalah merupakan kes yang dikesan daripada Kluster Tembok iaitu di Penjara di Kedah iaitu meliputi 57.0 peratus daripada jumlah keseluruhan kes hari ini.

“Kesemua kes positif dalam Kluster Tembok yang merupakan kluster terasing di dalam Kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara pentadbiran dan di dalam penjara. Ini bermakna mereka terasing daripada masyarakat,” katanya di sini hari ini.

Dr Noor Hisham mengadakan sidang media yang disiarkan secara langsung dari kediamannya kerana sedang menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas menghadiri Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu.

Mesyuarat itu telah dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 dan kini menjalani rawatan di salah sebuah hospital di Negeri Sembilan.

Susulan keputusan itu, semua individu yang hadir dalam mesyuarat berkenaan, termasuk Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengikut peraturan Kementerian Kesihatan Malaysia menjalani kuarantin wajib.

Mengulas lanjut, Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 31 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana lapan kes memerlukan bantuan pernafasan.

Katanya, daripada maklumat terkini yang dilaporkan ke Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan, terdapat pertambahan empat kes kematian berkaitan Covid-19.

“Justeru, jumlah kumulatif kes kematian COVID-19 di Malaysia adalah sebanyak 141 kes iaitu 1.04 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Kerana kedegilan ahli politik, nyawa bayi berakhir. Harap abg Non nak sangat jad PM bawa ke sidang perlimen. Lantak koranglah YB2 nak baling kerusi ke, nak mecarut ke, dalam dewan korang.

Comments are closed.