Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Peruncit kelengkapan penambahbaikan kediaman, MR DIY Group (M) Bhd, yang berhasrat mengumpul sejumlah RM1.5 bilion daripada pelaksanaan tawaran awam permulaan (IPO), telah bersedia untuk disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 26 Okt.

IPO terbesar untuk tahun 2020 itu telah ditetapkan pada RM1.60 sesaham, kata Ketua Pegawai Eksekutif Adrian Ong pada persidangan akhbar yang dilakukan secara maya bersempena dengan pelancaran prospektus syarikat di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata prestasi syarikat terus berdaya tahan selepas penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan COVID-19, dan ini membuka peluang kepada syarikat untuk menggerakkan semula IPO berkenaan.

Untuk separuh pertama berakhir 30 Jun tahun ini, jualan syarikat ialah sebanyak RM1.025 bilion berbanding RM1.088 bilion dalam tempoh yang sama 2019.

Untuk tahun penuh 2019, jualan melonjak kepada RM2.25 bilion daripada RM1.77 bilion pada 2018.

Syarikat itu yang merupakan peruncit terbesar kelengkapan penambahbaikan kediaman di Malaysia, dengan anggaran penguasaan pasaran 29.1 peratus pada 2019, berharap dapat meningkatkan jumlah cawangannya kepada 981 menjelang 2021 daripada 674 pada masa ini.

Ia merancang membuka 307 cawangan baharu dalam tempoh dua tahun, terdiri daripada 200 kedai  ‘MR DIY’, 47 ‘MR TOY’ dan 60 ‘MR DOLLAR’.

Daripada jumlah cawangan yang ada sekarang, empat ialah di Brunei.

IPO MR DIY terdiri daripada tawaran untuk penjualan berjumlah sehingga 753.09 juta saham sedia ada dan terbitan awam sebanyak 188.40 juta saham baharu.

Tawaran jualan terdiri daripada 161.53 juta saham, dengan 125.53 juta tersedia untuk permohonan warga Malaysia dan 36 juta saham diperuntukkan bagi permohonan oleh pengarah, pekerja dan mereka yang menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

Tawaran institusi pula berjumlah sehingga 779.96 juta saham dengan 470.75 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang telah diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Baki 309.21 juta saham ialah untuk institusi Malaysia dan pelabur terpilih (selain daripada Bumiputera yang diluluskan oleh MITI), institusi asing/pelabur terpilih di luar Amerika Syarikat dan pembeli institusi yang berkelayakan di AS.

IPO syarikat telah mendapat sokongan daripada beberapa pelabur terkenal dunia termasuk Aberdeen Standard, AIA, BlackRock, FIL Investment Management, JPMorgan Asset Management dan Pictet Asset Management.

Pelabur asas menguasai 76 peratus daripada tranche penawaran institusi (tidak termasuk saham yang ditawarkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh MITI).

MR DIY akan mengumpulkan sekitar RM301.4 juta daripada terbitan awam 188.4 juta saham baharu untuk syarikat dengan RM276.1 juta akan digunakan untuk membayar semula pinjaman bank.

Mengenai penyenaraian syarikat, permodalan pasarannya disasar mencecah RM10 bilion.

Syarikat itu telah mengguna pakai dasar dividen yang menyasarkan pulangan 40 peratus daripada pendapatannya kepada pemegang saham. –  MalaysiaGazette