Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sebanyak 50 peratus pekebun-pekebun kecil persendirian sawit yang masih belum mendapatkan pensijilan Sijil Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) diminta segera menghubungi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) supaya pendaftaran dapat dilakukan.

Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, kelewatan mereka mendaftar akan mendatangkan kesan ketika pekebun-pekebun mahu memperbaharui lesen nanti.

Malah, jika ada pekebun yang mahu menjual kebun-kebun mereka, hasil yang akan diperoleh lebih rendah kerana tidak mempunyai MSPO.

Oleh itu, beliau meminta mereka yang berkenaan supaya berbuat demikian memandangkan tarikh pelaksanaan mandatori pensijilan MSPO ke atas pekebun-pekebun kecil telah berkuatkuasa pada 1 Julai lalu.

Jika gagal berbuat demikian, mulai 1 Januari 2021, mereka boleh dikenakan kompaun.

Malah, jika terus ingkar, pekebun-pekebun akan dikenakan tindakan tegas termasuk lesen mereka ditarik mulai 1 Januari 2022.

“Jika tindakan diambil pada peringkat ini bermakna pekebun-pekebun kecil sawit tidak boleh menjual hasil mereka.

“Yang penting sekarang adalah datang kepada MPOB untuk pendaftaran,” kata Ahmad Parveez.

Bagi estet dan pengilang, pelaksanaan MSPO telah berkuatkuasa pada 1 Januari lalu.

Sejajar dengan pelaksanaan secara mandatori, semua pihak dalam industri sawit termasuk pekebun kecil perlu melaksanakan pensijilan MSPO di premis masing-masing.

Menurut beliau, MPOB telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Pelesenan Pensijilan MSPO secara mandatori kepada pemegang lesen kategori Kilang Buah Kelapa Sawit, Estet dan Pekebun Kecil pada 1 Julai 2019.

Pada masa ini, MPOB masih terus menghantar notis-notis peringatan kepada pekebun-pekebun meminta mereka mendaftar terlebih dahulu sebelum menjalani latihan yang ditetapkan.

Pensijilan ini akan memberi pengetahuan seperti amalan pertanian baik (GAP) sawit, mengurangkan kos pengeluaran, meningkatkan kecekapan pengurusan serta meningkatkan produktiviti dan secara langsung meningkatkan pendapatan pekebun.

Kosnya akan ditanggung oleh kerajaan.

Katanya, di bawah peraturan 15(1)(a), Peraturan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (Pelesenan) 2005, MPOB boleh mengambil tindakan perundangan terhadap pihak industri termasuk terhadap pekebun kecil yang masih belum memulakan proses pensijilan MSPO atau dipersijilkan dengan MSPO. – MalaysiaGazette