Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan menutup sementara pejabat dan kaunter di Kota Kinabalu mulai Rabu, 7 Oktober 2020 hingga dimaklumkan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di tiga kawasan dalam negeri Sabah.

Kawasan itu ialah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan.

Sehubungan itu, semua permohonan Janji Temu Online (JTO) ke KWSP Kota Kinabalu akan dibatalkan serta merta.

Ahli yang telah membuat janji temu di pejabat Kota Kinabalu yang dijadualkan dalam tempoh PKPB perlu membuat semula janji temu mereka setelah perintah kawalan tamat.

Bagaimanapun, ahli dan majikan masih boleh menggunakan perkhidmatan atas talian KWSP, iaitu i- Akaun (Ahli) dan i-Akaun (Majikan), yang beroperasi seperti biasa.

Pembayaran caruman masih boleh dibuat melalui perbankan internet atau ejen bank berdaftar di kaunter dan ahli dan majikan disarankan untuk mendapatkan maklumat daripada saluran rasmi KWSP sahaja. – MalaysiaGazette