Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (tiga kanan) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek (tiga kiri) serta yang lain menyampaikan replika cek kepada Ketua Pegawai Esekutif PETEKMA, Mohd Syahrir Abdul Aziz pada Majlis Penyampaian Pembiayaan TEKUN kepada Pemandu Teksi Koperasi PETEKMA di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 OKTOBER 2020

PUTRAJAYA – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi melalui TEKUN Nasional telah mengambil inisiatif memberi pembiayaan kepada pemandu dan pengusaha teksi Aiport Limo Sdn. Bhd. yang terjejas ekoran dari pandemik Covid-19.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembiayaan yang diberikan itu merupakan keperluan untuk penyelenggaraan modal, pemasangan NGV, ubah suai, kit Covid 19 dan juga sebagai deposit atau pembayaran pendahuluan untuk pembelian teksi.

Beliau berharap inisiatif itu dapat membantu melahirkan lebih ramai pemandu teksi untuk menyediakan perkhidmatan teksi yang menjadi salah satu sumber pendapatan golongan sasar B40 seterusnya peluang pekerjaan kepada mereka menjana pendapatan.

“Inisiatif ini juga akan dapat membantu pemandu teksi menyediakan teksi yang setanding dengan perkhidmatan teksi negara maju kerana teksi Airport Limo ini beroperasi di pintu masuk negara utama di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Lapangan Terbang KLIA 2,” katanya di sini hari ini.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bercakap pada sidang media selepas Majlis Penyampaian Pembiayaan TEKUN kepada Pemandu Teksi Koperasi PETEKMA di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 OKTOBER 2020

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyerahan cek pembiayaan berjumlah RM106,000 kepada Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi / Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (PETEKMA) yang membabitkan 53 pemandu dan pengusaha teksi Airport Limo.

Jumlah maksimum pembiayaaan adalah RM2,000 bagi setiap individu dengan tempoh pembayaran semula selama dua tahun tidak termasuk enam bulan moratorium.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi memberitahu, sehingga kini TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM36.09 juta kepada 4,526 orang pemandu dam pengusaha teksi di seluruh negara.

“Sejak diwujudkan  sejak tahun 1998 hingga Ogos lalu, TEKUN Nasional telah menyalurkan pembiayaan kepada 465,622 orang usahawan dengan nilai RM6.19 bilion di seluruh hegara.

“Ini menunjukkan kerajaan melalui TEKUN Nasional sememangnya komited dalam membantu usahawan bumiputera,” katanya. – MalaysiaGazette

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Mohammad Mentek melakukan acara ” flag off ” sebagai gimik pelancaran pada Majlis Penyampaian Pembiayaan TEKUN kepada Pemandu Teksi Koperasi PETEKMA di Kompleks Nasyrul Quran, Presint 14, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 06 OKTOBER 2020