Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Kadar pemulihan ekonomi sekarang berada pada landasan yang betul dan berharap momentum pemulihan ini dapat dikekalkan di dalam Belanjawan 2021 yang bakal diumumkan pada bulan November ini.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) antara faktor yang menyumbang kepada pemulihan ekonomi.

Menurutnya, negara sedang memperlihatkan penambahbaikan daripada pelbagai perspektif dan indikator.

Ini termasuk penurunan angka pengangguran, peningkatan indeks perdagangan runcit dan borong, peningkatan pelaburan asing langsung, peningkatan produktiviti dalam industri pembuatan dan pembinaan, serta pelbagai lagi.

Beliau berkata demikian dalam laporan Laksana ke-24 di sini hari ini.

Tengku Zafrul memberitahu, dalam pertemuan dengan pihak berkepentingan pelbagai industri, isu sokongan berterusan kerajaan adalah antara yang sering dibangkitkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ia bagi memastikan ketersediaan untuk beroperasi dalam norma baharu serta menjana permintaan daripada pengguna dan pelabur bukan sahaja di dalam tetapi juga di luar negara.

Kerajaan juga telah menerima pelbagai cadangan, dan sedang mempertimbangkan kesemuanya bagi merangka Belanjawan 2021 yang berpaksikan rakyat, perniagaan dan ekonomi.

Langkah-langkah ini demi memastikan kesinambungan pendekatan yang selaras dengan Pakej Prihatin dan Penjana.

Sesungguhnya, kata Tengku Zafrul, kerajaan amat serius dalam mengekalkan momentum pemulihan ekonomi pada tahun 2020 dan melonjakkannya pada tahun 2021. – MalaysiaGazette