Khairul Dzaimee Daud

PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menghantar sejumlah 26,792 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal sehingga 5 Oktober 2020.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Indera Khairul Dzaimee Daud berkata, daripada jumlah itu, Indonesia merupakan negara tertinggi penghantaran pulang warganegaranya.

“Indonesia merupakan antara tiga negara tertinggi dalam penghantaran pulang PATI melibatkan seramai 11,911 orang, ini diikuti dengan Bangladesh (3,855) dan Thailand (2,036).

“Negara keempat tertinggi dalam penghantaran PATI ini ialah India seramai 2,013 dan kelima ialah Myanmar (1, 924).

“Jadi usaha-usaha pengusiran atau penghantaran pulang ini sedang diteruskan agensi ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JIM, hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya telah menangkap seramai 31,323 PATI dari seluruh negara sepanjang operasi JIM yang bermula 1 Januari hingga 6 Oktober 2020.

Selain itu juga, setakat 6 Oktober 2020, Depoh Tahanan Imigresen kini mempunyai seramai 15,626 orang PATI yang masih ditahan di seluruh negara. – MalaysiaGazette