Amirudin Shari

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor mengumumkan rombakan portfolio dan struktur Ahli Majlis Kerajaan Negeri (Exco) negeri itu berkuat kuasa serta merta.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, rombakan itu dibuat susulan pelantikan dua anggota Exco baharu pada 17 September lalu.

Katanya, selepas meneliti portfolio dan struktur itu, lima portfolio baharu telah diwujudkan selaras dengan keperluan semasa negeri Selangor.

Portfolio itu kata beliau, Pembudayaan Inovasi dan Smart Selangor (nama asal Sains, Teknologi dan Inovasi dan ditambah komponen Smart Selangor yang baru diwujudkan).

“Portfolio lain ialah Pengurusan Bencana; Pemberdayaan Pekerja; Perpaduan; dan Industri Halal,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Amirudin, dua portfolio sedia ada telah dijenamakan semula bagi tujuan cakupan yang lebih meluas, iaitu Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar.

Rodziah Ismail

Jelas beliau, nama asal portfolio itu ialah Perumahan dan Kehidupan Bandar serta dan Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam yang mana asalnya dinamakan Kesihatan.

Sehubungan itu, dua anggota Exco Selangor yang baharu ialah Borhan Aman Shah selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kampung Tradisi, Adat Istiadat Melayu, Kebudayaan dan Warisan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Kandis, Mohd Zawawi Ahmad Mughni pula dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal.

Rombakan kecil turut dilakukan melibatkan beberapa Ahli Exco sedia ada, iaitu Rodziah Ismail memegang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan dan Kesejahteraan Bandar serta Pembangunan Usahawan.

Mohd Zawawi Ahmad Mughni

Hee Loy Sian (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau serta Hal Ehwal Orang Asal).

Ganabatirau (Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Sosio-ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja).

Kata Amirudin lagi, kedudukan portfolio ahli-ahli exco lain dikekalkan.

Beliau berharap penstrukturan baharu itu dapat memanfaatkan seluruh warga Selangor melalui khidmat bakti terbaik ke arah merealisasikan agenda Selangor Maju Bersama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast