Dr. Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pergerakan Pemuda UMNO meminta kerajaan memutuskan tiga perkara utama yang dicadangkan sayap parti itu dalam mesyuarat Kabinet hari ini.

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tiga perkara itu ialah lanjutan tempoh moratorium sekurang-kurangnya tiga bulan, bayaran one-off RM500 kepada mahasiswa terjejas akibat penangguhan kemasukan akademik dan penutupan sementara sesi persekolahan.

Kata beliau, cadangan dan saranan itu perlu diberi perhatian khusus oleh kerajaan dan membuat keputusan secepat mungkin.

“Tiga perkara utama Pemuda UMNO minta diputuskan segera oleh kerajaan dalam Mesyuarat Kabinet hari ini,” katanya menerusi hantaran Facebooknya, hari ini.

Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian memandangkan gejala pandemik Covid-19 semakin meningkat dan membahayakan rakyat jika tidak ditangani dengan baik.

Sementara itu, Dr. Asyraf turut meminta rakyat memberikan pandangan masing-masing kepadanya untuk beliau angkat kepada kerajaan.

“Apa pandangan anda? Ada perkara lain yang perlu diberikan perhatian segera oleh kerajaan?” katanya. – MalaysiaGazette