Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 36 kawasan dalam Mukim Klang terlibat dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang berkuatkuasa jam 12 tengah malam ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, ia selaras dengan pengumuman Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa hanya Mukim Klang sahaja terlibat.

“Langkah-langkah tersebut yang dipersetujui oleh Majlis Keselamatan Neagar (MKN) akan dilaksanakan untuk mengawal penularan wabak Covid-19 di Mukim Klang.

“Kawasan-kawasan yang terlibat dalam PKPB Mukim Klang ialah Bandar Bukit Tinggi, Kampung Johan Setia, Kampung Bukit Naga, Kampung Perigi Nenas, Kampung Kuantan, Kampung Serdang, Bandar Puteri, Kampung Sungai Kandis, Taman Sri Andalas, Lorong Sungai Udang, Taman Suria, Mutiara Bukit Raja, Bandar Klang, Pangsapuri Bukit Kuda, Ken Jim baran, Pangsapuri Palm Garden dan Taman Andalas Permai.

“Turut terlibat PKPB ialah Taman Desa Meru, Taman Seri Lembayung, Taman Gembira, Kampung Delek Kiri, Taman Kim Batu Belah, Kampung Sungai Udang, Taman Klang Perdana, Taman Bayu Perdana, Taman Klang Utama, Taman Sentosa, Taman Pendamar Indah, Jalan Dato Dagang, Taman Sejati, Jalan Haji Tarmizi, Taman Setia, Jalan Kebun, Taman Sri Muda, Jalan Muhibbah dan Taman Tenaga Bakti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Kerajaan Selangor akan mengikut syor MKN yang menetapkan bahawa semua sektor ekonomi untuk terus beroperasi dengan pematuhan ketat Tatacara Pengendalian Piawai (SOP).

Selain itu, katanya, bagi tujuan keselamatan sepanjang 14 hari pelaksanaan PKPB di Mukim Klang, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) akan melaksanakan kawalan.

“Ini termasuk sekatan jalan raya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA),” katanya.

Selain itu, mereka yang terbabit dalam PKPB dinasihatkan hanya ketua keluarga sahaja yang keluar dari rumah bagi tujuan mendapatkan bekalan makanan dan keperluan rumah.

“Orang-orang yang berisiko tinggi tidak digalakkan keluar ke kawasan awam, terbuka dan sesak,” katanya.

Sementara itu, waktu operasi bagi restoran, kedai, gerai makan, kedai runcit, serbaneka serta warung dibenarkan antara 6 pagi hingga 10 malam.

“Pembelian makanan digalakkan menggunakan kaedah pandu lalu, penghantaran atau bungkus sahaja. Makan di premis tidak dibenarkan,” katanya.

Bagi waktu operasi stesen minyak pula, masa yang ditetapkan ialah antara 6 pagi hingga 11 malam.

Untuk operasi pasar pula terdapat tiga waktu yang berbeza sepanjang PKPB di Mukim Klang.

“Waktu operasi bagi pasar borong antara 4 pagi sehingga 2 petang, pasar biasa antara jam 6 pagi sehingga 2 petang dan pasar tani antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah hari.

“Sebaliknya operasi pasar malam adalah tidak dibenarkan dalam tempoh ini,” katanya.

Antara waktu operasi premis lain ialah klinik dan hospital kerajaan dan swasta dibenarkan secara 24 jam, farmasi dan kedai menjual ubat-ubatan beroperasi mulai 8 pagi hingga 11 malam.

“Pengangkutan awam seperti bas, teksi serta e-hailing dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi sehingga 12 malam,” katanya.

Sementara itu, operasi bagi masjid, surau, rumah ibadat bukan islam, institut pengajian tinggi awam dan Swasta Institut Latihan Kemahiran, sekolah, tadika, taska, pusat tahfiz, pusat jagaan kanak-kanak, taman awam, pusat rekreasi, padang permainan dalam dan luar adalah ditutup dalam tempoh ini.

“Segala aktiviti rumah ibadat adalah ditangguhkan sementara sepanjang tempoh ini.

“Semua aktivit sukan, rekreasi, sosial dan budaya adalah tidak dibenarkan bermula 9 Oktober 2020 hingga 23 Oktober 2020,” katanya lagi. – MalaysiaGazette