Dr. Mohd Hatta Md Ramli.

KUALA LUMPUR – Elakkan kehadiran pimpinan dan ahli Parti Amanah Negara (AMANAH) yang terlibat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dalam mesyuarat parti.

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr. Mohd Hatta Ramli berkata, mereka terlibat dilarang menjadi perasmi atau perwakilan dalam sebarang mesyuarat parti.

“Aktiviti seperti mesyuarat tahunan kawasan, konvensyen tahunan termasuk bagi yang melibatkan semua sayap parti boleh diteruskan tetapi wajib mematuhi semua SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Agenda pula perlu diringkaskan dan kehadiran hanya terhad kepada perwakilan sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Hatta, selain itu, parti juga mengarahkan semua aktiviti lain ditangguhkan bagi memastikan tiada kemungkinan risiko parti terlibat seandainya berlaku perkara berkaitan pelanggaran SOP berkaitan Covid-19.

“Arahan ini terpakai serta-merta sehingga satu arahan baharu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Nasional Parti AMANAH,” ujarnya.- MalaysiaGazette