Mesyuarat ECER yang diadakan secara atas talian.

KUALA LUMPUR – Mersing berpotensi menjadi destinasi perniagaan tani dan pelancongan yang utama bagi memacu aktiviti ekonomi di Mersing pasca Covid-19.

Ia menerusi pelaksanaan pengeluaran makanan dua projek perniagaan tani utama iaitu Lembah Tenusu Jemaluang (JDV) dan Taman Pemprosesan Ikan Bersepadu Endau-Mersing oleh ECERDC di Mersing.

Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) berkata, JDV dijangka siap pada Februari 2023 akan mengurangkan lagi pergantungan negara terhadap produk tenusu import yang dianggarkan bernilai RM3.9 bilion pada tahun 2019 merangkumi kemudahan huluan dan hiliran seperti kandang lembu, kawasan pemerahan susu, pusat pemprosesan susu dan stesen makanan untuk haiwan ternakan di tanah seluas 275 hektar di Sungai Ambat, Jemaluang.

Projek ini juga akan turut dilengkapi dengan aktiviti-aktiviti agropelancongan.

Sementara itu, pembangunan Taman Pemprosesan Ikan Endau-Mersing akan memberikan nafas baharu kepada sektor perikanan Mersing yang merupakan pemacu ekonomi tradisional untuk daerah ini.

Pembangunan ini akan meningkatkan kualiti produk hiliran berasaskan ikan yang dihasilkan oleh pengusaha kecil dan sederhana (PKS) tempatan, sekali gus akan membantu mewujudkan peluang pekerjaan baharu bagi penduduk tempatan.

Taman Pemprosesan Ikan yang dijangka siap pada bulan Mac 2022 ini akan dibangunkan di atas tanah seluas 2.85 ekar yang dimiliki oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Endau, bakal merangkumi pusat sejuk beku, kilang memproses produk ikan dan makanan laut, serta kemudahan kilang untuk PKS.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Baidzawi Che Mat berkata, taman ini juga akan meningkatkan kualiti produk berdasarkan keperluan keselamatan dan pengesanan makanan antarabangsa, akan membantu meningkatkan prospek eksport produk berasaskan ikan dari Mersing.

”Pandemik ini telah menunjukkan betapa mudahnya kita terkesan apabila bergantung kepada makanan yang diimport, susulan daripada gangguan dalam rantaian bekalan makanan ketika sempadan ditutup.

Oleh itu, ECERDC komited dalam menyokong usaha meningkatkan aktiviti pertanian, selaras dengan objektif Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import,” katanya selepas mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan ECER (ICC) Johor. Mesyuarat ICC dijalankan secara atas talian buat pertama kalinya hari ini.

Mesyuarat ini dipengerusikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad.

Untuk sektor pelancongan pula, katanya, ECERDC telah melaksanakan beberapa projek pelancongan yang telah berjaya meningkatkan penyertaan usahawan tempatan dan daya tarikan pelancong di Mersing.

Strategi pembangunan ‘Dari Hutan Hujan ke Terumbu Karang’ atau ‘Rainforest to Reef’ (R2R) di bawah Pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang seiring dengan slogan “Naturally Splendid” Mersing, akan terus dilaksanakan bagi memanfaatkan potensi ekopelancongan, pelancongan pesisir dan pelancongan pulau di daerah ini.

Sebuah lagi projek utama adalah projek Kampung Air Papan yang melibatkan pembinaan chalet dengan estetika tempatan dan peningkatan kemudahan di sekitarnya untuk mengubah konsep inap desa tradisional kepada produk pelancongan berasaskan komuniti.

Projek ini yang dijangka siap pada Februari 2022, membolehkan masyarakat tempatan memperoleh pendapatan melalui koperasi yang ditubuhkan untuk mengurus dan memberikan pengalaman inap desa serta kemudahan kepada pelancong.

Pusat Informasi dan Perkhidmatan Taman Laut Sultan Iskandar (PIPTLSI) di Pulau Besar yang akan siap awal tahun depan pula akan memainkan peranan sebagai Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) untuk komuniti tempatan.

Selain itu, PIPTLSI juga akan menjadi destinasi pelancongan ‘mesti dikunjungi’ di Kepulauan Mersing, tambah beliau.

Baidzawi menambah, selain itu, ECERDC juga sedang membangunkan jeti dan pemecah ombak di Pulau Pemanggil, dijangka siap pada akhir suku pertama tahun depan sejurus berakhirnya musim tengkujuh dan akan memudahkan pelancong mengunjungi pulau tersebut.

Selain itu, pembangunan ekopelancongan di Taman Negara Endau-Rompin (TNER) bakal melibatkan penambahbaikan kemudahan pelancongan dan penaiktarafan Rainforest Discovery Centre di Peta, Johor.

Projek ini dijangka siap menjelang Mei 2023 dan merupakan kesinambungan daripada inisiatif sebelumnya iaitu penaiktarafan jalan masuk dari Sungai Emas ke pintu masuk Taman Negara. – MalaysiaGazette