Enam ahli geng aktif pecah rumah termasuk seorang wanita asing berjaya dicekup D9 IPD Petaling Jaya.

KUALA LUMPUR- Siasatan kejadian samun rumah milik mangsa berusia 60 tahun yang mengalami kerugian RM8,000 membawa kepada kejayaan polis menumpaskan satu geng samun yang didalangi enam saspek termasuk dua warga asing.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, insiden pada 9 September lalu pada pukul 2.58 pagi  di Damansara Jaya membabitkan dua saspek lelaki tempatan memecah masuk bersenjatakan sebilah sabit dan melarikan barang mangsa iaitu telefon bimbit Samsung, tablet Samsung Galaxy dan kamera berjenama Nikon ketika mangsa beseorangan di rumah.

“Bertindak atas aduan mangsa, polis memulakan risikan dan siasatan untuk mengesan penjenayah sebelum pada 12 September lalu pada pukul 8.10 malam Bahagian Jenayah Berat D9 Petaling Jaya menyerbu sebuah rumah di ibu negara.

“Hasil serbuan, seorang lelaki warga tempatan berusia 29 tahun dan dua warga asing berusia 20 dan 24 tahun termasuk seorang wanita berjaya ditangkap.

“Hasil pemeriksaan berjaya merampas 12 telefon bimbit pelbagai jenama, empat kad ATM bank tempatan, empat kamera digital pelbagai jenama dan pelbagai alat yang digunakan untuk melakukan jenayah pecah masuk rumah serta sebuah motosikal Yamaha LC milik suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rentetan kejayaan itu, polis pada 5 Oktober lalu, pukul 3.30 petang polis menahan tiga lagi saspek lelaki warga tempatan dalam serbuan kedua di Petaling Jaya.

Mereka berusia lingkungan 37 hingga 47 tahun dipercayai rakan sejenayah tiga saspek awal yang ditahan.

Menurut Nik Ezanee, hasil pemeriksaan di rumah saspek, polis berjaya merampas satu unit komputer riba jenama Dell.

Susulan tangkapan ini, suspek pertama wanita warga asing berjaya dituduh di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 di Mahkamah Majistret Petaling Jaya manakala suspek kedua lelaki tempatan dituduh engikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 manakala suspek ketiga warga asing dibebaskan kerana tiada penglibatan dalam kes samun itu.

“Suspek keempat diberi jaminan polis dan akan dituduh bersama dua lagi rakan sejenayah tempatan yang masih direman selama tujuh hari dan disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Siasatan turut dilakukan bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63,Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1995 dan Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

“Jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan juga sebatan,” tegasnya.- MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.