KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Pengarah Program Perkhidmatan Teknikal, Agensi Nuklear Malaysia, Dr. Siti A’iasah Hashim dilantik sebagai Ketua Pengarah agensi itu berkuatkuasa semalam.

Pelantikan beliau ke Gred Utama C Secara Khas untuk penyandang Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) adalah menggantikan Dr Mohd Abd. Wahab Yusof yang bersara pada 21 September lalu.

“Pelantikan Dr. Siti A’iasah Hashim dibuat berdasarkan kelayakan,
pengalaman dan pengetahuan beliau khususnya dalam bidang penyelidikan bagi membolehkan beliau menerajui kepimpinan di Agensi Nuklear Malaysia dan seterusnya meneruskan kecemerlangan bagi mencapai matlamat kemajuan pembangunan dan penyelidikan.

“Beliau mendapat pendidikan Ijazah Pertama Kejuruteraan (Elektrik), University of New South Wales, Australia pada tahun 1987 dan mendapat Ijazah Kedoktoran dalam bidang Fizik Gunaan (Kawalan Pencemaran Udara) daripada Universiti Malaya pada Tahun 2015,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Agensi Nuklear Malaysia hari ini.

Menurut kenyataan itu, selain Siti A’iasah turut dinaikkan pangkat adalah mantan Pengarah Bahagian Agro dam BioSains serta pakar nuklear dalam bidang pembaikan mutasi tanaman, Dr. Abdul Rahim Harun.

Beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah (Program Perkhidmatan Teknikal), memangku Gred Utama C di Agensi Nuklear Malaysia yang turut berkuatkuasa semalam.

Katanya, Abdul Rahim pernah menjalankan beberapa misi pakar bagi pihak Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) di Laos dan Mauritius.

“Agensi Nuklear Malaysia mengucapkan sekalung tahniah di atas pelantikan tersebut serta merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Dr. Mohd. Abd. Wahab Yusof di atas segala sumbangan dan khidmat bakti yang diberikan sepanjang beliau memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Agensi Nuklear Malaysia sebelum ini,” tambah kenyataan itu. – MalaysiaGazette