Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menahan seorang suspek disyaki kurang siuman yang menetak seorang lelaki di sebuah kedai makan dengan parang.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada jam 3.30 petang Selasa lalu di Semenyih.

Katanya semasa kejadian mangsa sedang makan di sebuah kedai makan di Taman Sri Tanjung, Semenyih.

“Ketika pengadu sedang berada dalam kedai makan bersama tiga rakannya yang lain, suspek lelaki India datang dari arah belakang sebelum terus melibaskan parang ke bahagian belakang badan mangsa.

“Akibat kejadian, pengadu mengalami luka di bahagian belakang badan sebelum suspek cuba melarikan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Mohd Zaid, beberapa rakan mangsa terus mengejar dan berjaya menangkap suspek lelaki berusia 63 tahun yang telah tercedera akibat pergelutan sebelum itu.

Kata beliau, mangsa telah menghubungi balai polis dan minta bantuan untuk membuat tangkapan.

“SUspek telah diserahkan kepada anggota Balai Polis Semenyih bersama barang rampasan iaitu dua bilah parang panjang dan satu pisau

“Siasatan mendapati suspek mempunyai kes jenayah lampau dan semakan awal juga suspek sebelum ini ada menerima rawatan psikiatrik di Hospital Ulu Kinta, Perak.

“Suspek direman sehingga 10 Oktober ini untuk siasatan lanjut kes ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette