Elliott Broidy

WASHINGTON – Elliott Broidy, bekas pengumpul dana untuk Donald Trump dituduh telah melobi Presiden Amerika Syarikat (AS) itu secara tidak sah bagi menggugurkan siasatan membabitkan skandal penyelewengan besar Malaysia, menurut dokumen mahkamah.

Broidy secara tidak sah juga melobi untuk mengatur kepulangan seorang individu keturunan China yang tinggal di AS pulang ke China.

Sebagai pertukaran dengan wang berjumlah berjuta-juta dolar, Broidy bersetuju untuk melobi Trump dan Jabatan Keadilan (DoJ) untuk menamatkan satu siasatan terhadap ‘ ahli perniagaan kaya yang tinggal di Asia Timur’ kerana memainkan peranan dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), menurut dokumen yang difailkan pada Selasa lalu, lapor Reuters.

Broidy dijangka mengaku bersalah pada 20 Oktober ini, menurut seorang sumber yang arif dengan situasi itu semalam.

Broidy, seorang ahli perniagaan yang memegang jawatan kewangan kanan dalam kempen presiden Trump pada 2016 tidak mengulas kepada permintaan yang dikemukakan.

Beliau merupakan individu terbaharu yang mempunyai hubungan dengan Trump didakwa dengan jenayah ketika presiden itu sedang ketinggalan dalam undian dengan tempoh kurang empat minggu sebelum pilihan raya diadakan pada 3 November ini.

Walaupun tidak dikenalpasti dalam dokumen mahkamah, individu dalam skandal 1MDB itu dipercayai Jho Low dan ahli perniagaan berketurunan Cina yang melarikan diri itu adalah Guo Wengui.

Low berhadapan dengan dakwaan di AS dan Malaysia atas tuduhan dia merancang mencuri AS$4.5 bilion daripada 1MDB. Low menafikan salah laku itu.

Akta Pendaftaran Asing (FARA) AS mewajibkan mereka yang melobi kerajaan AS untuk entiti asing mendaftar.

Nickie Lum Davis, individu yang turut melakukan komplot, mengaku bersalah mambantu dan bersubahat pada Ogos lalu.

Pada tahun lalu, DoJ meningkatkan penguatkuasaan terhadap pendakwaan undang-undang yang jarang dilaksanakan ke atas kegiatan melobi asing.

Pendakwaan ke atas Paul Manafort, bekas pengerusi kempen Trump, membabitkan kasalahan FARA.

Manafort memperolehi berpuluh-puluh juta dolar dengan melobi secara rahsia untuk ahli-ahli politik pro Rusia di Ukraine. – MalaysiaGazette