Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini bersetuju membenarkan penganjuran majlis perkahwinan di kawasan-kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Bersyarat.

Bagaimanapun, beberapa prosedur operasi standard (SOP) ditambah berbanding sedia ada.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara SOP tambahan adalah tuan rumah perlu menyediakan anggota RELA untuk mematuhi SOP sepanjang majlis berkenaan.

Sekiranya dilangsungkan di hotel, pihak pengurusan perlu menyediakan pengawas-pengawas untuk mematuhi SOP pada majlis tersebut.

Bagi jemputan yang datang dari luar kawasan PKPD Bersyarat pula, mereka perlu menunjukkan kad jemputan majlis berkenaan ketika melalui sekatan jalan raya.

Tuan rumah juga menurut Ismail Sabri dinasihatkan untuk memendekkan jangka masa majlis.

“Ramai yang merayu supaya majlis perkahwinan yang telah dirancang dapat diteruskan walaupun berada di kawasan PKPD Bersyarat maka sidang hari ini bersetuju untuk membenarkannya dengan syarat perlu mematuhi SOP-SOP sedia ada.

“Antara yang SOP yang kita telah tetapkan selama ini adalah jamuan makan boleh diadakan dengan cara dibungkus atau sekiranya dihidang secara buffet, pramusaji-pramusaji perlu ditugaskan untuk meletakkan makanan ke pinggan tetamu.

“Bagaimanapun, bagi terus membendung penularan, kita akan menambah SOP yang mana perlu ada pengawasan untuk memastikan SOP yang telah ditetapkan dapat dipatuhi,” katanya semasa sidang media secara langsung di Facebook Kementerian Pertahanan hari ini.

Dalam pada itu, ketika ditanya apakah kerajaan akan memberikan kuasa kepada pentadbir sekolah untuk membuat keputusan berdasarkan perkembangan semasa Covid-19, Ismail Sabri berkata, tiada perubahan dalam isu tersebut.

Kementerian Pendidikan (KPM), katanya, akan membuat keputusan dan mengambil tindakan lanjut berhubung sesebuah sekolah selepas mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kesihatan.- MalaysiaGazette