Fosil gajah purba Stegodon yang ditemui di gua batu kapur, Gopeng Perak.

KUALA LUMPUR – Sekumpulan saintis Universiti Malaya (UM) telah berjaya menemui fosil gajah purba Stegodon pertama di Malaysia dengan anggaran kasar usia geologi di antara 80-30 ribu tahun di dalam satu gua batu kapur yang terletak in Gopeng, Perak.

Stegodon merupakan salah satu genus Proboscidea daripada keluarga Stegodontidae yang telah lama pupus.

Gajah purba ini berbeza dengan gajah moden Asia (Elephas maximus) yang masih wujud di Malaysia dari segi morfologi, ekologi dan taksonomi.

Tiada penemuan fosil Stegodon di Malaysia sehingga kini.

Saintis dari Jabatan Geologi, Fakulti Sains UM, Dr. Ros Fatihah Muhammad berkata, penemuan ini adalah hasil susulan daripada makluman kumpulan peneroka gua, Kinta Valley Watch serta tinjauan dan kajian.

Kajian setakat ini menunjukkan peninggalan hidupan ini tidak berasosiasi dengan manusia purba.

Walau bagaimana pun amat penting dalam kajian berkaitan sejarah migrasi fauna kuno dan juga perubahan alam sekitar di rantau Asia Tenggara, katanya.

Justeru, perkara ini amat penting dari segi biogeografi dengan implikasi terhadap pembinaan semula sejarah laluan migrasi biota zaman Pleistosen, termasuk manusia.

Ros Fatihah menambah, Perak mempunyai kepelbagaian spesimen dan spesies Proboscidea yang paling tinggi di Malaysia, iaitu sekurang-kurangnya dua atau tiga jenis Proboscidea yang berlainan pernah hidup di Semenanjung Malaysia (Stegodon sp., Elephas maximus dan berkemungkinan juga Palaeoloxodon namadicus).

Fosil dikenalpasti sebagai Stegodon oleh Lim Tze Tshen, ahli paleontologi vertebrat dan zooarkeologi dari Persatuan Paleontologi Malaysia dan juga hasil dari perkongsian pakar-pakar dari seluruh dunia.

Antaranya, 5th Earl of Cranbrook, Datuk Seri Gathorne Gathorne-Hardy dari Natural History Museum (London), Dr. John de Vos dari Naturalis Biodiversity Center (Leiden), Dr. Gert van den Bergh dari University of Wollongong, Australia, dan Dr. Gerrell Drawhorn dari California State University (Sacramento), Amerika Syarikat.

Tambah beliau, proses pengimejan yang dilakukan oleh dua orang pakar gigi dari Fakulti Pergigian UM, iaitu Prof. Madya Dr. Norliza Ibrahim dan Dr. Mohd Azmi Abdul Razak, mendapati fosil tersebut berkemungkinan merupakan Stegodon yang berusia kurang 2 tahun.

Beliau berharap kawasan penemuan diwartakan oleh kerajaan negeri supaya dilindungi daripada pencerobohan dan boleh dicadangkan sebagai satu geotapak baru Geopark Lembah Kinta.

“Di samping jenis haiwan yang masih hidup, terdapat bukti dari lokasi penemuan Stegodon dan tapak-tapak paleontologi lain yang menunjukkan tinggalan haiwan yang telah pupus pernah wujud di Semenanjung Malaysia seperti orang-utan, badak sumbu Sumatera, badak raya Java, beruang hitam Asia dan satu spesies tikus kuno yang sudah lama pupus dari seluruh dunia.

“Dengan kesedaran awam tentang pentingnya memelihara bukit-bukit batu kapur dari ancaman pengkuarian sebagai contoh, penemuan fosil-fosil dari gua-gua kars ini adalah sebab kukuh untuk pemeliharaan berterusan,” ujarnya. – MAlaysiaGazette