Anak-anak berketurunan Bajau bermain basikal di kawasan perumahan berlatar belakangkan pemandangan laut ketika tinjauan Malaysia Gazette di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah. foto 25 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Tiga lagi kluster baharu dikenal pasti pada hari ini iaitu Kluster Atap di Sabah, Kluster Bah Lada di Perak dan Kluster Bah Sahabat di Terengganu.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Kluster Atap melibatkan kes indeks yang menjalani saringan bergejala pada 4 Oktober lalu.

Beliau telah dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu untuk mendapatkan rawatan manakala saringan kontak rapat mendapati tiga positif, 36 negatif dan sembilan masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Lada pula melibatkan dua kes indeks di Perak Tengah dan Hilir Perak yang telah pulang dari Sabah pada 3 Oktober dan 6 Oktober lalu.

Kedua-duanya sedang mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Bainun manakala saringan kontak rapat mendapati dua disahkan positif, 31 negatif manakala enam lagi masih menunggu keputusan.

Kluster Bah Sabahat di Marang, Terengganu pula melibatkan dua kes indeks yang balik dari Sabah pada 25 September lalu.

Mereka kini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Hulu Terengganu, Kuala Berang.

Seramai 88 orang telah disaring yang mana lapan adalah positif, 34 negatif dan 44 masih menunggu keputusan.

Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, Kluster Telaga telah ditamatkan pada hari ini setelah 28 hari tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu.

Bagaimanapun masih terdapat 14 kluster sedia ada masih aktif dan mencatatkan kes positif baharu.

“Walaupun Kluster Tembok dan Kluster Benteng menyumbang kes positif tertinggi namun penularan berlaku di dalam penjara dan terasing.

“Langkah-langkah pengawalan diteruskan bagi mengekang penularan di dalam komuniti,” katanya. -MalaysiaGazette