Friday, March 29, 2024
Home Nasional 7 tahanan PATI larikan diri sedang diburu

7 tahanan PATI larikan diri sedang diburu

TAWAU – Polis sedang memburu baki tujuh daripada 14 tahanan yang melarikan diri dari pusat tahanan sementara (PTS) Tawau pada awal pagi semalam.
Tujuh suspek yang masih diburu ialah Aidal Girol, 42; Anwar Awal, 35; Basri Jumbli, 29; Mad Kadir Basir, 36; Dal Mujiral, 40; Talim Tipayan, 36; dan Jaladi Benedi, 38.
Mereka yang diburu merupakan tahanan lelaki pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina dan Indonesia yang akan dihantar pulang ke negara asal sementara menantikan keputusan saringan kesihatan Covid-19 keempat, menurut laporan Astro Awani.
Laporan polis berhubung kejadian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau pada jam 10.30 pagi.
Dalam kejadian kira kira jam 2 pagi semalam, seorang anggota Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengesan dua tahanan sedang memanjat pagar di belakang sebuah blok.
Difahamkan terdapat 14 tahanan ditempatkan di blok berkenaan.
Usaha memburu yang dilancarkan berjaya menahan semula enam tahanan manakala seorang lagi tahanan berjaya ditahan dalam Op Tutup dan Op Kesan yang digerakkan tidak lama kemudian.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Umbuas dalam kenyataannya lewat malam semalam menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat agar berhubung terus dengan Balai Polis Tawau atau mana-mana balai polis berdekatan. – MalaysiaGazette