Sebahagian kanak-kanak ASD yang menyertai Autism Swimming Gala di Universiti Malaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Seramai 30 kanak-kanak autism menyertai Autism Swimming Gala hari ini, dianjurkan oleh Hawary Sports Centre (HSC) dengan kerjasama Universiti Malaya dan CQR Fakih.

Mereka yang terlibat berusia antara 9 hingga 15 tahun.

Ini merupakan kali kedua acara berkenaan dianjurkan oleh HSC selepas anjuran Autism Swim Open di Pulau Redang setiap tahun.

Objektif utama acara ini untuk memberi peluang kepada anak-anak dengan ASD atau gangguan spektrum autistik untuk terlibat dan menyertai masyarakat.

Di samping itu, acara ini dapat menunjukkan bakat dan kemampuan dalam teknik berenang yang mereka miliki.

Autism Swimming Gala tidak seperti acara renang kompetitif lain. Ini adalah untuk memberi pendedahan kepada anak-anak dengan ASD supaya selesa menyertai acara ini di hadapan orang ramai.

“Ini secara tidak langsung memberi kesedaran kepada masyarakat tentang pelbagai teknik yang akan dipamerkan oleh anak-anak ini mengikut kemampuan mereka sendiri,” kata Hamlatul Hawary Azizan, yang juga pakar terapi air.

Kakitangan HSC yang terlibat dalam Autism Swimming Gala.

Beliau yang juga pengasas HSC berkata, dengan penganjuran acara ini, diharap anak-anak ASD dapat meningkatkan keyakinan  untuk menyertai acara renang dalam skala lebih besar nanti.

Malah, katanya, kerjasama dengan Universiti Malaya pasti akan memberikan kesan positif kepada penyelidikan dan pembangunan universiti berkenaan terhadap komuniti ASD  dalam arena renang. – MalaysiaGazette