TUDM akan melakukan penerbangan harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini juga bersetuju untuk mengaktifkan Hospital Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau.

Ia bagi melaksanakan bantuan sokongan untuk merawat kes-kes selain Covid-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin dan sebagainya.

“Ini susulan permohonan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai keperluan menambah fasiliti perubatan bagi menangani situasi di Sabah berikutan jangkaan peningkatan kes positif Covid-19 di negeri itu.

“Hospital ATM di Tawau ini mempunyai 100 katil pelbagai wad dengan kekuatan seramai lapan pegawai perubatan dan 54 lain-lain pangkat terdiri daripada seorang komander, lima doktor pakar, tiga pegawai perubatan dan lain-lain kakitangan.

“Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) juga akan melaksanakan penerbangan secara harian ke Sabah bagi membantu KKM dalam urusan logistik termasuk membawa kakitangan perubatan serta membawa sampel saringan swab test ke makmal di Semenanjung,” katanya lagi.

Sementara itu, Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam sidang medianya berkata, pesakit-pesakit bukan Covid-19 dari Hospital Tawau akan dirawat di hospital medan ini khususnya untuk perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Pediatrik dan Pembedahan Am.

Ini akan memberi lebih banyak ruang kepada Hospital Tawau untuk merawat keskes yang memerlukan penjagaan rapi termasuk yang dirujuk dari daerah berdekatan khususnya Semporna, manakala kes-kes yang tidak mempunyai gejala atau gejala ringan akan terus ditempatkan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC). – MalaysiaGazette