KOTA BHARU – Seorang ibu tunggal berusia 50-an yang juga pesara kerajaan kerugian lebih RM480,000, yang dipercayai diperdaya sindiket ‘love scam’, yang merupakan jumlah kerugian terbesar melibatkan jenayah itu di Kelantan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kelantan Supt Ahmad Azizul Mohamed berkata, mengikut laporan, mangsa mula berkenalan dengan seorang lelaki  yang mendakwa bekerja di dalam industri minyak dan gas dan menetap di United Kingdom, melalui media sosial pada September lepas.

Katanya, tidak lama setelah berkenalan, suspek menyatakan ingin menghantar wang perbelanjaan RM650,000 kepada mangsa sebelum pada hujung September lalu mangsa dihubungi seorang wanita kononnya bertugas di Bank Negara Malaysia (BNM) menyatakan kenalannya (suspek) itu telah memindahkan sejumlah wang ke BNM untuk diproses.

“Mangsa kemudiannya membuat beberapa transaksi pindahan wang berjumlah lebih RM480,000 ke dalam satu akaun bank wanita yang menyamar pegawai BNM tersebut, bagi mengelakkan wang dipindahkan suspek dibekukan.

“Namun apabila dirasakan beliau ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada 9 Okt (semalam),” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sekiranya disabitkan kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang daripada satu tahun dan tidak lebih daripada 10 tahun dengan sebatan serta boleh juga dikenakan denda. – MalaysiaGazette