Norlin Jaafar

KUALA LUMPUR – Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Melaka mengesan dan menyita tapak haram pembuangan sisa toksik dan bahan terjadual berbahaya di Jalan Pengkalan Perigi, Tanjung Kling, Melaka.

Sisa toksik yang dikesan merupakan buangan terjadual enapcemar atau minyak yang disyaki dari loji penapisan minyak.

Bertindak hasil aduan orang ramai, JAS Melaka telah menjalankan risikan dan intipan sejak 6 Oktober 2020 termasuk pemantauan dengan menggunakan dron.

Susulan itu, pada 8 Oktober 2020 JAS Negeri Melaka bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dan Badan Kawal Selia Air (BKSA) telah melaksanakan operasi bersepadu ke premis tersebut.

Siasatan lanjut mendapati terdapat lebih 900 tong dram, enam tangki intermediate bulk containers (IBC), tujuh tong tercemar dan lima buah tangki simpanan minyak yang disyaki mengandungi enapcemar minyak.

Ketua Pengarah JAS, Norlin Jaafar berkata, pihaknya juga akan menjalankan finger printing dan pengumpulan bahan bukti untuk
menjejaki pihak yang bertanggungjawab bagi tujuan pendakwaan.

Pasukan siasatan JAS Negeri Melaka telah menjalankan persampelan dari bahan buangan tersebut yang akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia dalam masa terdekat bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan itu.

Dalam pada itu, pemantauan dron dan udara dilakukan dari masa ke semasa untuk memastikan keadaan selamat di lokasi kejadian.

Pihak premis juga telah diarahkan untuk menjalankan pembersihan dan pelupusan buangan yang disyaki buangan terjadual setelah siasatan selesai dijalankan melalui Notis Arahan di bawah Seksyen 31(1)(g) & 37(1)(c) AKAS 1974.

Menurutnya, kertas siasatan sedang disediakan bagi pelbagai kesalahan di bawah Seksyen 34B, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual tanpa kebenaran Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling, jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara mandatori dan denda sehingga RM500,000. – MalaysiaGazette