KUALA LUMPUR – Kompleks beli- belah One Utama di Bandar Utama, Petaling Jaya ditutup berikutan terdapat empat kes positif Covid-19 melibatkan tiga pekerja dan seorang pengunjung.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Petaling, Johary Anuar berkata, turut ditutup Tropicana Golf Club & Country Resort apabila lima pekerjanya juga dijangkiti wabak berkenaan.

“Penutupan akan bermula pada 11 Oktober (esok) bagi tujuan  saringan untuk semua kontak rapat dan melakukan proses nyah kuman,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, orang ramai yang mengunjungi dua tempat berkenaan antara tarikh 30 hingga 7 Oktober di bahagian kosmetik dan wangian di aras G, Parkson Elite dan Mac City di aras dua antara 25 September hingga 30 September untuk melakukan ujian saringan.

Katanya, Pejabat Kesihatan Daerah Petaling akan membuat saringan Covid-19 di pusat beli belah terbabit pada 15 dan 15 Oktober bermula pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Tambah beliau, keutamaan proses saringan itu adalah terhadap kontak rapat kes sahaja iaitu pengunjung premis pada tarikh tersebut.

“Bagi mereka yang bergejala sebelum tarikh saringan, mereka diminta ke fasiliti kesihatan berdekata dengan kadar segera untuk pemeriksaan dan rawatan,” jelasnya. – MalaysiaGazette