Logo Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM)

PEMILIKAN tunggal, perkongsian dan syarikat. Pada mereka yang baru ingin menceburi bidang keusahawanan ini adalah persoalan dan dilema yang harus mereka tempuhi sebelum mengorak langkah dalam perniagaan yang mereka ingin ceburi. Setiap entiti perniagaan mempunyai ciri-ciri yang tersendiri di mana setiap usahawan perlu bijak untuk memilih yang mana lebih sesuai dengan perniagaan mereka. Ini kerana pemilihan entiti perniagaan mempengaruhi perjalanan
perniagaan dari pelbagai aspek, seperti kos pematuhan, percukaian, tanggungjawab pemilik, keterdedahan kepada pemilik, rakan kongsi, atau pengarah syarikat dan sebagainya.

Pemilihan entiti perniagaan juga menjadi cabaran kepada usahawan masa kini dengan kebimbangan yang dicetuskan pandemik Covid-19. Kesan pandemik ini dirasai di segenap pelusuk dunia merangkumi kesan pada masyarakat dan ekonomi khususnya. Penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan di Malaysia memberi impak ekonomi yang besar kepada perniagaan-perniagaan di Malaysia di mana perniagaan terpaksa menutup operasi ataupun mengurangkan jumlah pekerja yang seterusnya meningkatkan jumlah pengangguran di Malaysia. Rentetan daripada peristiwa ini, kerajaan mengambil pendekatan proaktif seperti dengan memperkenalkan inisiatif-inisiatif di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan juga Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang bertujuan membantu semua pihak yang terkesan dengan Covid-19 ini.

Pemulihan ekonomi yang dapat dilihat daripada pembukaan semula sektor ekonomi dalam negara membuatkan sektor perniagaan di Malaysia dapat menarik sedikit nafas lega dalam memulihkan semula operasi mereka. Namun, ketidaktentuan yang dicetuskan dengan peningkatan mendadak dalam kes semasa Covid-19 di Malaysia semestinya menggusarkan mereka. Pada mereka yang baru hendak memulakan perniagaan, ketidaktentuan ini juga tidak
terkecuali bagi mereka.

Era globalisasi membuatkan setiap perniagaan perlu lebih berdaya saing, di mana inovasi memainkan peranan penting dalam menentukan kemampuan perniagaan untuk kekal di dalam industri. Akan tetapi, sejauh manakah inovasi dapat dilaksanakan di dalam sesebuah perniagaan? Ini kerana ianya bukan mudah, di mana setiap dimensi perlu diambil kira seperti sumber manusia, sumber kewangan, gelagat organisasi, dan kebolehpasaran produk menjadi antara
syarat utama sebelum sesuatu inovasi dapat dijalankan. Namun, jika syarat-syarat tersebut dapat dipenuhi, ianya mampu menjadi batu loncatan untuk perniagaan tersebut menjadi pelopor dalam sesebuah industri.

Salah satu cara perniagaan untuk menjadi lebih dominan di dalam sesuatu industri adalah dengan mengaplikasi konsep hybrid di dalam perniagaan mereka. Ini terbukti dengan kejayaan syarikat seperti Toyota melalui model Prius, yang menggabungkan elemen elektrik dan sumber api konvensional pada model tersebut. Kejayaan menggabungkan elemen tersebut dapat dilihat dari jumlah jualan bagi model tersebut dan juga dominasi Toyota dalam segmen pasaran untuk kereta
hybrid di pasaran dunia. Konsep hybrid juga telah digunapakai di dalam disiplin yang lain seperti akademik di mana kepakaran baru wujud hasil penggabungan dua bidang yang berbeza. Bagi para pencinta makanan pula, konsep “fusion cuisine” juga telah memberi dimensi yang baru terhadap makanan di mana penggabungan cara dan jenis masakan antara dua budaya yang berbeza dapat mewujudkan satu karya terbaru untuk dicuba pelanggan. Namun tidak semua
aplikasi hybrid di dalam perniagaan dijamin akan berjaya kerana ianya bergantung kuat pada penerimaan pengguna.

Menyedari kepentingan perubahan pada permintaan pasaran dan lanskap perniagaan, entiti perniagaan juga perlu berubah memenuhi kriteria yang diinginkan oleh para usahawan. Persoalan utama yang timbul adalah bagaimanakah penerimaan dan sambutan terhadap entiti hybrid di Malaysia? Konsep hybrid di dalam entiti perniagaan di Malaysia dapat dilihat daripada kewujudan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT) di mana ianya dikawal selia di bawah Akta Perkongsian Liabililiti Terhad 2012. PLT adalah satu bentuk perniagaan alternatif yang ditawarkan di Malaysia dengan menggabungkan ciri-ciri perniagaan jenis perkongsian konvensional dan syarikat. Antara ciri-ciri utama PLT adalah rakan-rakan kongsi diberi perlindungan liabiliti terhad, seperti yang dinikmati pemegang saham dalam sesebuah syarikat tetapi tidak pada perkongsian konvensional. Ini bermaksud rakan-rakan kongsi dalam PLT tidak bertanggungjawab terhadap hutang PLT tersebut. Dalam erti kata mudah, rakan kongsi tidak perlu mengeluarkan duit dari poket sendiri untuk membayar hutang-hutang PLT kerana ianya akan dibayar dengan menggunakan harta-harta yang sedia ada. Sebagai contoh, menggunakan hartanah yang dimiliki oleh PLT untuk membayar tunggakan hutang.

Oleh kerana PLT adalah pertubuhan yang diperbadankan, pemakaian undang-undang juga berbeza antara PLT dan rakan-rakan kongsinya. PLT juga akan kekal wujud dengan hak, kuasa, dan liabiliti sendiri, seperti hak untuk mengambil dan dikenakan tindakan undang-undang, membeli atau menjual harta atas nama PLT, selagi ianya tidak dibubarkan mengikut lunas yang ditetapkan. PLT juga akan terus wujud walaupun terdapat sebarang perubahan pada rakan kongsi.

Bagi menjawab persoalan mengenai penerimaan usahawan mengenai PLT, perkara pertama yang boleh dilihat adalah dari bilangan PLT yang telah didaftarkan. Setakat Ogos 2020, sebanyak 25,084 buah PLT telah didaftarkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM). Secara purata, peningkatan pendaftaran sebanyak 4227 buah PLT telah dicatatkan sejak 2016 sehingga 2019. Peningkatan ni mungkin didorong oleh fleksibiliti yang ditawarkan oleh PLT itu sendiri di mana antaranya penubuhan PLT hanya memerlukan minimum 2 orang rakan kongsi, di mana rakan kongsi tidak perlu menjadi pemastautin di Malaysia. Konsep hybrid di dalam PLT memudahkan pengurusan dalaman organisasi tanpa perlu terikat dengan keperluan berkanun yang ketat.

Penubuhan PLT dibenarkan hanya di atas dasar mencari keuntungan, dan ianya disasarkan kepada 4 golongan utama iaitu usahasama (joint ventures), modal teroka (venture capital), perniagaan kecil dan sederhana, dan golongan professional seperti setiausaha syarikat, peguam, dan akauntan. Walaupun begitu, kumpulan perniagaan yang lain juga boleh memilih PLT sebagai entiti perniagaan mereka. Melalui PLT, golongan ini dapat memulakan perniagaan mereka tanpa risau akan liabiliti yang perlu ditanggung secara individu.

Permulaan perniagaan memerlukan modal yang banyak dan pemilihan PLT juga dapat membantu perniagaan mengurangkan kos-kos yang berkaitan. Ini dapat dilihat dari sudut kos pemerbadanan PLT di mana fi yang perlu dibayar ke SSM adalah sebanyak RM500, separuh daripada fi yang dikenakan untuk pemerbadanan syarikat. Walaupun kos pendaftaran perkongsian konvensional adalah lebih murah, ianya tidak harus dibandingkan terus dengan PLT kerana status liabiliti terhad adalah sesuatu yang dianggap lebih penting kepada sesetengah pemilik perniagaan. Di samping itu, kos-kos berkaitan pematuhan juga dapat dikurangkan di mana penyata kewangan PLT tidak perlu diaudit dan harus diserah kepada SSM. Sebagai ganti, PLT perlu menghantar Deklarasi Tahunan bagi menunjukkan kemampuan mereka untuk membayar hutang yang ada. Justeru itu, PLT perlu sentiasa mengemas kini rekod perakaunan mereka supaya gambaran jelas mengenai kedudukan kewangan PLT dapat dilihat. PLT juga tidak perlu mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan, seterusnya menjimatkan lagi kos operasi syarikat.

Seperti dalam perkahwinan, tidak semuanya manis dan indah belaka. Pasti akan ada cabaran yang datang menguji kemampuan semua pihak. Di dalam konteks PLT, antara cabaran yang dihadapi adalah kesukaran PLT untuk membuka akaun bank. Pembukaan akaun bank adalah satu perkara asas yang perlu dilakukan oleh semua jenis perniagaan. Di era digitalisasi, ketiadaan kemudahan perbankan internet sedikit sebanyak akan merencatkan perjalanan operasi syarikat. Bertindak atas aduan pemilik PLT, masalah ini telah berjaya diselesaikan hasil daripada beberapa siri perbincangan antara pihak SSM, Bank Negara Malaysia dan persatuan-persatuan yang mewakili bank-bank di Malaysia.

Adakah penggabungan satu idea yang baik? Umum menyedari kombinasi, penyatuan dan penggabungan acap kali dijalankan untuk mengejar sinergi yang dijangka akan wujud, di mana 1+1=3. Seperti dalam penggabungan korporat, sinergi adalah tujuan utama mengapa sebuah syarikat sanggup membayar premium yang tinggi bagi membeli syarikat yang lain. Sinergi terhasil dari pelbagai bentuk seperti peningkatan jualan, pengurangan kos, peningkatan kepakaran dan lain-lain lagi. Namun, perlu diingat bahawa tidak semua penggabungan akan membuahkan hasil yang diingini. Ini kerana sinergi yang terhasil perlulah setimpal dengan kos yang perlu dibayar.

PLT wujud apabila ciri-ciri dua jenis perniagaan yang berbeza digabungkan ke dalam satu jenis perniagaan yang baru. Jadi, dalam konteks PLT pula adakah sinergi yang dijangka terhasil dari kewujudan PLT dapat dicapai? Atau dalam erti kata lain, adakah berdua lebih baik? Bagaimana pula persoalan mengenai pemilihan PLT sebagai entiti perniagaan pilihan di era pandemik ini? Buat masa kini selamat untuk dikatakan berdua selalunya lebih baik. Ini berdasarkan ciri-ciri menarik yang ada pada PLT, dikuatkan pula dengan jumlah PLT yang berdaftar setakat ini. Ditambah dengan ketidaktentuan yang dicetuskan pandemik Covid-19, PLT berpotensi untuk menjadi pilihan utama usahawan pada waktu ini.

Pada bakal usahawan yang berminat untuk menjadikan PLT sebagai entiti perniagaan mereka, bolehlah mendapatkan khidmat pegawai pematuhan untuk mendaftarkan PLT masing-masing serta mendapatkan nasihat yang lebih lanjut sebelum mendaftarkan perniagaan mereka. Pada usahawan yang telah mendaftarkan perniagaan mereka sama ada perkongsian konvensional atau pun syarikat persendirian, dan mereka berminat untuk menukar status perniagaan kepada PLT, mereka juga boleh berbuat demikian dengan menyediakan dokumen-dokumen yang berkaitan untuk dihantar kepada Pendaftar.

Dengan usia penubuhan yang boleh dikira masih muda, konsep “Kaizen” atau penambahbaikan berterusan harus dititikberatkan. Penambahbaikan boleh dilakukan dengan berterusan jika semua pihak, sama ada usahawan, pegawai pematuhan, SSM, dan industri yang tebabit sering berbincang mengenai isu-isu berkaitan PLT yang timbul dan mencari penyelesaian bersama. Dengan ini, matlamat utama mengapa PLT ini diwujudkan di Malaysia dapat dicapai.

Oleh: Fadhirul Hisham Aziz pensyarah Pentadbiran Korporat di Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Seremban,
Negeri Sembilan.