KUALA LUMPUR – Barangkali realitinya nampak indah apa yang dilalui anak muda ini namun tiada siapa yang tahu bagaimana dia bermula.

Benarlah kata orang bukan mudah untuk sampai ke puncak, halangan dan cabarannya tidak terduga.

Mengenali Fazlan Adhili Mastafa Kamar ini banyak mengajar erti sebenar sebuah pengorbanan dalam mengejar impian dalam hidup.

Ternyata ia bukanlah perkara mudah, tidak terkira perasaan yang menjerut dan begitu juga masa dan wang ringgit dikorbankan semata-mata untuk mengecapi apa yang dihajati.

Membuka bicara, popular dengan gelaran Faz Adhili dalam kalangan komuniti berbasikal, terlalu banyak dugaan yang ditempuh dalam sukan berbasikal hingga menjejakkan kaki dalam dunia perniagaan.

Temubual pengasas komuniti berbasikal, Fazlan Adhili Mastafa Kamar di kedai basikal miliknya iaitu Plan A di Bukit Jelutong, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

Menurut pemegang Sarjana Muda Seni dan Rekaan dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) ini, dia sanggup menjual enam daripada 12 basikal miliknya bagi mengumpul dana sebanyak RM50,000 membuka kedai pengeluar pakaian dan aksesori basikal yang dikenali Plan A empat tahun lalu.

“Nama Plan A itu ada kisahnya kerana sewaktu hendak menceburi dalam bisnes ini, keluarga saya agak skeptikal apatah lagi latar belakang bapa dalam industri minyak dan gas.

“Tapi saya nekad juga membuka kedai dan nama Plan A adalah sebagai plan saya jika apa-apa berlaku nanti.

“Saya mula beroperasi di di Subang dan pada awalnya terpaksa menjual enam daripada 12 basikal sendiri untuk kumpul modal RM50,000 bagi membayar wang deposit studio dan membeli peralatan komputer,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di Plan A yang terletak di Bukit Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

Pengasas komuniti berbasikal, Fazlan Adhili Mastafa Kamar bergambar di kedai basikal miliknya iaitu Plan A di Bukit Jelutong, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

Mengimbau sejarah pembabitannya, Fazlan mula mewakili Selangor sejak usia remaja sebelum menyambung minatnya di zaman universiti.

Walaupun pernah dianggap ‘makhluk asing’ di kampus UiTM Seri Iskandar kerana hanya dia seorang yang menaiki basikal ke kuliah, Fazlan membuktikan minat luar biasa itu telah mengubah hidup untuk berlumba di merata negara di seluruh dunia seperti Jepun, Korea,Sepanyol, Thailand, Itali dan Singapura.

Malah dia pernah memegang kontrak bersama pengeluar basikal Itali, Cinelli dan merupakan ahli pasukan tunggal dari Asia bagi Cinelli Chrome iaitu pasukan lumba basikal popular dunia.

Fazlan juga merupakan sebahagian daripada Pro UCI Continental Team CCN yang berpusat di Laos.

Mengambil keputusan bersara namun meneruskan keseronakan dalam kariernya, dia membuka Plan A yang menyediakan pelbagai servis termasuk mengeluarkan pakaian tempahan khas daripada jersi berbasikal hingga ke jersi bola sepak mahupun pakaian uniform dan polo-T.

Kedai basikal miik pengasas komuniti berbasikal, Fazlan Adhili Mastafa Kamar iaitu Plan A di Bukit Jelutong, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

Plan A juga menyediakan servis produksi gambar dan video dengan senarai pelanggan seperti Red Bull, Sime Darby dan Touch n’ Go

Mengulas lanjut, Fazlan yang berusia 29 tahun memberitahu, selepas empat tahun beroperasi dia bersyukur Plan A kini sudah mampu membina jenama sendiri sama ada di kalangan peminat berbasikal atau penganjur acara.

Jelas anak kedua daripada empat beradik itu, Plan A mengamalkan konsep produk berkualiti tinggi dengan harga yang amat berpatutan.

“Kami ingin menjadi pelopor bagi dunia berbasikal di Malaysia di mana jersi kami menggunakan bahan dan fabrik yang sama seperti jenama-jenama dari luar negara namun harga lebih murah di pasaran.

“Saya akui pada mulanya cabaran dalam bisnes adalah sukar untuk menyakinkan masyarakat membeli produk keluaran tempatan namun penglibatan berterusan dengan pembeli untuk berbasikal bersama menjadi rahsia Plan A mendapat pelanggan yang semakin ramai dan regular,” katanya yang masih bujang itu.

Antara koleksi trofi dan pingat kemenangan dalam perlumbaan basikal pengasas komuniti berbasikal, Fazlan Adhili Mastafa Kamar di kedai basikal miliknya iaitu Plan A di Bukit Jelutong, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

Mengulas fenomena sukan berbasikal dalam kalangan masyarakat akibat kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Fazlan mengakui trend itu yang dilihat ibarat ‘cendawan tumbuh selepas hujan’.

Biarpun gembira dengan budaya sihat itu, dia bagaimanapun menekankan beberapa isu khususnya berkaitan keselamatan yang turut mendapat kritikan netizen di laman sosial.

Jelas beliau, dalam keseronokan mereka menikmati sukan itu berkemungkinan ada pihak tidak sedar mereka sebenarnya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain terutamanya bagi pendatang baharu yang masih belum memahami garis panduan keselamatan.

Apatah lagi, beberapa laluan lebuh raya ketika ini menjadi tumpuan kelompok berbasikal tidak kira sama ada pendatang baharu mahupun pelumba sedia ada dan berpengalaman.

Menurutnya, tidak dapat dinafikan masih ramai pengayuh yang kurang arif berhubung isu keselamatan.

Temubual pengasas komuniti berbasikal, Fazlan Adhili Mastafa Kamar di kedai basikal miliknya iaitu Plan A di Bukit Jelutong, Shah Alam. foto ISKANDAR HAMIDI, 1 OKTOBER 2020.

“Memang ramai lagi yang tidak tahu bagaimana cara menunggang basikal dengan selamat dan cara hormati pengguna jalan raya lain.

“Paling penting memakai topi keledar untuk mengurangkan risiko jika berlaku kemalangan selain lampu dan loceng. Jadi mereka perlu menjadi pelumba yang bijak dan perlu berbelanja lebih sikit demi keselamatan,” katanya.

Sementara itu, Fazlan turut berpendapat ada pihak yang cuba mengetuai kumpulan berbasikal sedangkan ilmu pengetahuan mereka masih tidak mencukupi.

Sepatutnya kata bekas pelajar UiTM Seri Iskandar itu, mereka sepatutnya mencari seorang guru basikal yang bertauliahn dan berpengalaman sebelum menyertai sukan itu.

“Saya nasihatkan mereka bercampur dan belajar dengan mereka yang sudah ada ilmu pengetahuan kemudian baru boleh bimbing kumpulan sendiri.

“Belajar bagaimana nak guna laluan dengan betul, terutamanya di laluan jalan raya yang sibuk,” katanya yang turut menyedikan perkhidmatan jurulatih peribadi kepada mereka yang ingin menceburi sukan berbasikal.

Bagi yang peminat berbasikal yang ingin mendapat maklumat lanjut mengenai Plan A, mereka boleh menghubungi talian 01133542346. – MalaysiaGazette

Foto Instagram Faz Adhili.