PUTRAJAYA- Ahli Parlimen Besut, Datuk Seri Idris Jusoh hari ini membuat laporan polis berhubung namanya termasuk dalam senarai ahli-ahli Parlimen UMNO yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri yang kini tular di media sosial.

Beliau yang juga Pengerusi FELDA membuat laporan itu bagi membersihkan namanya kerana senarai tersebut menyebabkan dirinya hilang kepercayaan dalam kalangan ahli politik dan rakan-rakannya.

Tegas bekas Menteri Pengajian Tinggi itu, beliau tidak terlibat langsung dengan konspirasi untuk menukarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) kerana tidak pernah dihubungi pihak Anwar apatah memberi sokongan kepada Presiden PKR itu.

“Dulu saya sudah nafi melalui akhbar tetapi kali kedua ini keluar balik. Jadi, untuk membersihkan nama saya ini, saya perlu buat laporan polis.

“Kenyataan media penafian saya seolah-olah tidak diendah. Kawan-kawan dan ahli pun sibuk. Apa kena ini? Kadang-kadang boleh hilang kepercayaan dengan saya, betul ke tak betul?

“Jadi hendak pasti jelas dengan pendirian saya, cara paling baik buat laporan polis,” katanya ketika ditemui pihak media di Ibu Pejabat Daerah Polis Putrajaya di sini hari ini.

Idris antara 20 nama ahli Parlimen UMNO yang disenaraikan bersama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) yang kononnya senarai nama itu akan dipersembahkan Anwar kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, pada Selasa ini.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kangar, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris turut membuat laporan polis terhadap Anwar kerana didakwa menyenarai nama beliau dalam barisan Ahli Parlimen yang akan menyokongnya membentuk kerajaan baharu.

Mengulas lanjut, Idris menegaskan beliau sama sekali tidak akan memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ditanya sama ada Anwar memang mempunyai majoriti, Idris menyerahkan persoalan tersebut kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu sendiri.

“Tak tahulah. Ikut suka dialah. Yang tahu saya tidak sokong,” katanya.

Sementara itu, antara nama lain yang turut tersenarai Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi; Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin; dan Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Nama itu melengkapkan senarai 121 ahli-ahli Parlimen termasuk dari PH yang membolehkan Anwar menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

[contact-form][contact-field label=”Name” type=”name” required=”true” /][contact-field label=”Email” type=”email” required=”true” /][contact-field label=”Website” type=”url” /][contact-field label=”Message” type=”textarea” /][/contact-form]