Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari bercakap pada sidang media mengenai Inisiatif Pembaharuan Kerajaan Negeri Selangor di Pejabat Penghulu Mukim Batu Jalan Sungai Tua, Gombak, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 JANUARI 2020

KUALA LUMPUR – Kisah tular seorang pelajar yang menjual air di tepi jalan di Shah Alam tetapi disaman pihak berkuasa tempatan (PBT) menarik perhatian Menteri Besar Selangor.

Datuk Seri Amirudin Shari dalam ciapan Twitternya hari ini berkata beliau telah menghubungi lelaki berkenaan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Saya juga telah menghubungi pihak MBSA (Majlis Bandaraya Shah Alam) untuk membantu memudahcara urusan beliau untuk berniaga di sekitar Shah Alam,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, seorang netizen @iszlgrn memuat naik video beliau bersama rakannya dikenali sebagai Azri menjual air Chai Aroi Bang di satu kawasan di Shah Alam semalam.

Menurutnya, Azri memaklumkan kepadanya beliau mahu mencari duit lebih bagi membiayai apabila masuk semester baharu nanti.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam berniaga mereka disaman MBSA dan didenda RM300 sedangkan hasil jualan mereka ketika itu baru terjual lima botol pada harga RM75.

Menurutnya, selepas disaman, ramai membeli minuman mereka termasuk seorang mak cik yang memberi kata-kata semangat kepada mereka yang semasa itu tengah kecewa kerana disaman MBSA.- MalaysiaGazette