Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah bercakap pada sidang media perkembangan terkini jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 18 OGOS 2020.

KUALA LUMPUR – Kesemua individu yang hadir Mesyuarat Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) pada 3 Oktober lalu telah menjalani ujian saringan pertama wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan yang diterima mereka adalah negatif Covid-19.

“Sehingga 11 Oktober 2020, kesemua individu dan ahli majlis yang hadir mesyuarat tersebut di Jabatan Perdana Menteri pada 3 Oktober lalu telah menjalani saringan dan kesemua adalah negatif.

“Sehingga hari ini, tiada kes lain yang dikesan positif,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di kediamannya hari ini.

Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang disahkan positif Covid-19 dua hari selepas itu dan beliau kini menerima rawatan di sebuah hospital di Seremban.

Selain Noor Hisham yang sedang menjalani kendiri kerana hadir pada majlis tersebut, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menjalani kuarantin sama selama dua minggu bermula 3 Oktober lalu selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Khas MKN itu.

Muhyiddin turut memberitahu sebanyak tujuh menteri dan enam timbalan menteri sedang menjalani kuarantin kendiri di rumah untuk tempoh 14 hari.

Turut terbabit dan sedang kuarantin sendiri adalah Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast