Seramai 674 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),cyang mana 583 daripadanya telah dikompaun manakala 91 lagi direman.- Foto hiasan.

KUALA LUMPUR- Seramai 674 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),cyang mana 583 daripadanya telah dikompaun manakala 91 lagi direman.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan, tindakan polis lebih tegas daripada biasa ketika ini bagi terus membendung penularan wabak Covid-19.

“Saya ingin mengingatkan bahawa PKPP masih dilaksanakan dan dikuatkuasakan.

“Tindakan polis juga lebih tegas daripada biasa, sebab itulah kita lihat 674 individu ditahan dan 583 dikompaun semalam,” katanya semasa sidang media yang disiarkan di Facebook hari ini.

Tambah Ismail Sabri, antara kesalahan yang paling banyak dilakukan adalah aktiviti di pusat hiburan (325) sedangkan pusat-pusat hiburan masih tidak dibenarkan beroperasi sepanjang tempoh PKPP ini.

Kesalahan-kesalahan lain adalah gagal menyediakan peralatan merekod diri (80), penjarakan fizikal (53), tangkapan Pendatang Asing Tanpa Izin (22), langgar syarat PKPP (bawa penumpang lebih 2 orang) (7), menyalahguna pas sosial (7), premis beroperasi lebih masa (4), keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan PKPDB (4) dan premis beroperasi tanpa lesen sah (2).

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan seramai 80 pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan pihak berkuasa menerusi Operasi Benteng.

Selain itu, sebuah bot dan sebuah kenderaan darat juga berjaya dirampas.

Daripada jumlah tersebut, Rejimen Pertama Kor Armor Diraja telah berjaya menangkap 23 PATI sekitar kawasan hutan Pantai Pasir Logok, Felda Tenggaroh 12, Ladang Pasir Logok, Kota Tinggi, Johor kerana masuk ke Malaysia melalui jalan yang tidak diwartakan.

Sebanyak 136 Sekatan Jalan Raya Operasi Benteng telah dilakukan di seluruh negara semalam.

Berhubung berita palsu berkaitan Covid-19, setakat 11 Oktober, sebanyak 270 kertas siatan telah dibuka oleh PDRM dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Menurut Ismail Sabri, daripada jumlah itu, sebanyak 133 masih dalam siasatan manakala 35 kes telah didakwa di mahkamah.

Seramai 19 pesalah telah mengaku bersalah dan 12 telah diberikan notis amaran.

Dalam masa yang sama sebanyak 388 penafian dan penjelasan mengenai berita palsu telah diperjelaskan kepada orang ramai oleh Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia yang ditubuhkan bagi membantu membendung penyebaran berita palsu berkaitan Covid-19.-MalaysiaGazette