Aeril Zafrel dilaporkan memiliki kereta mewah jenis Ford Mustang.

KUALA LUMPUR – Pasangan pelakon suami-isteri, Wawa Zainal dan Aeril Zafrel menjelaskan kejayaan mereka dalam bidang perniagaan bukanlah melalui jalan mudah seperti yang dipertikaikan segelintir pihak.

Menurut Wawa atau nama sebenar Nur Hawa Zainal Abidin, 29, mereka juga pernah berdepan kegagalan dalam perniagaan, namun segera bangkit tanpa berputus asa.

“Wawa dan Aeril pun dah bisnes lama… jual baju pernah, jual tudung pernah, jual kanta lekap sehinggalah Wawa Cosmetics sejak 2016. Empat tahun bukan sekejap, pernah jatuh bangun balik!

“Siapa kata Wawa instant kaya? Cubit dia! Sekarang pun tak kaya lagi. Alhamdulillah cukup memadai buat Wawa dan team. Syukur!” tulisnya menerusi Instagram miliknya.

Sementara itu, Aeril pula menerusi akaun miliknya memuat naik foto bersama Wawa beserta kapsyen meluahkan rasa syukur dikurniakan pasangan yang baik.

“Alhamdulillah dikurniakan seorang isteri yang sungguh memahami dan sanggup berjuang bersamaku dalam kehidupan di dunia ini.

“Seorang wanita yang bila diberinya rumah, dia akan memberi kehangatan dalam rumah itu.

“Jika memberinya beras, dia akan mengembalikan rezeki dan jika memberinya cinta, dia akan memberikan pengabdian seumur hidupnya,” tulisnya.

Aeril sebelum ini pernah menghadiakan sebuah kereta mewah, Mercedes Benz C200 kepada Wawa dan dia juga dilaporkan memiliki sebuah kereta mewah jenis Ford Mustang.

Bagaimanapun, perkongsiannya itu menimbulkan rasa kurang senang segelintir pengikut yang menasihati Aeril supaya tidak menayangkan kemewahan di laman sosial.

Ini selepas beberapa selebriti dan instafamous dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan kes penggubahan wang haram.-MalaysiaGazette