Kakitangan membuat kerja-kerja sanitasi dan pembersihan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) sebagai persediaan berikutan kompleks rekreasi dibenarkan beroperasi semula susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kompleks Sukan Air Putrajaya, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 26 JUN 2020

MELBOURNE – Virus Covid-19 boleh hidup selama 28 hari pada wang kertas, kaca dan keluli tahan karat, demikian menurut sepasukan penyelidik dari Australia.

Kajian tersebut sekali gus menunjukkan virus Covid-19 mempunyai jangka hayat yang lebih lama berbanding virus flu biasa, justeru para penyelidik memberi penekanan terhadap keperluan untuk sentiasa menjaga kebersihan serta membasuh tangan untuk membasmi virus berkenaan.

Jika dibuat perbandingan, virus Influenza A didapati mampu bertahan di atas permukaan sedemikian selama 17 hari sahaja.

Dapatan kajian yang dijalankan oleh penyelidik-penyelidik di agensi sains nasional Australia, CSIRO menunjukkan virus SARS-CoV-2 masih boleh berjangkit selama 28 hari pada suhu 20 darjah Celsius di atas permukaan-permukaan seperti wang kertas plastik dan kaca skrin telefon bimbit.

Kajian tersebut diterbitkan dalam Virology Journal.

Kajian CSIRO melibatkan virus kering diletakkan pada lendir tiruan dengan kadar kepekatan sama dengan sampel yang diambil daripada pesakit Covid-19.

Virus tersebut kemudiannya diekstrak selepas sebulan.

Eksperimen yang dilakukan di dalam persekitaran makmal terkawal dengan suhu 20, 30 dan 40 celsius itu menunjukkan tempoh hayat virus merosot apabila suhu dinaikkan.

“Penentuan berapa lama virus tersebut bertahan di atas permukaan-permukaan berkenaan membolehkan kita membuat unjuran tepat serta mengurangkan penularan.

“Ini sekali gus memudahkan kita untuk melindungi orang ramai,” kata Ketua Eksekutif CSIRO, Larry Marshall dalam satu kenyataan.

Selain itu, protein dan lemak di dalam cecair badan juga memberi sumbangan tinggi kepada tempoh hayat virus tersebut.

“Kajian ini mungkin membantu memberi penjelasan terhadap mengapa SARS-CoV-2 mudah merebak di dalam persekitaran sejuk dengan pencemaran lemak atau protein yang tinggi seperti tempat memproses daging.

“Kajian ini juga membantu kita mengatasi risiko tersebut dengan baik,” kata Pengarah Pusat bagi Persediaan Penyakit Australia, Trevor Dew.- MalaysiaGazette